Pemimpin Umno muflis idea jangan cemarkan imej PH, kata Khairuddin

Oleh MALAYSIADATELINE

Pemimpin Umno yang cuba menaburkan fitnah terhadap kepimpinan Pakatan Harapan (PH) ketika ini diumpamakan sebagai mereka yang semakin ‘ gila meroyan’ setelah kehilangan kuasa.

Menurut Ahli Jawatankuasa Biro Komunikasi Dan Mobilisasi PH, Datuk Khairuddin Abu Hassan, menaburkan fitnah saban hari oleh pimpinan Umno kini membuktikan mereka semakin ketandusan idea selepas pilihan raya umum (PRU) ke 14.

“Tindakan undang-undang harus diambil terhadap Presiden Pemantau Malaysia Baru, Datuk Lokman Noor Adam.

“Beliau adalah ‘balaci’ nombor satu kepada bekas Perdana Menteri yang paling korup dalam sejarah kepimpinan negara.

“Sehingga ini beliau tidak boleh menerima hakikat bahawa rakyat negara ini telah pun menolak Umno dan BN dalam PRU ke 14 yang lalu, ” jelasnya dalam satu kenyataan.

Tegasnya lagi, gelagat Lokman semakin menjadi-jadi dan telah membuktikan tidak bermaruah serta reputasi yang baik.

“Oleh kerana itu jugalah dalam pilihan raya kecil Dun Sg Kandis yang lalu, secara terang rakyat menolak beliau dan kecundang ditangan PH.

“Sehubungan itu ia harus dihadapkan ke muka pengadilan ekoran tindakan melampau menabur fitnah terhadap pimpinan PH.

“Secara tidak langsung ia memperlihatkan gelagat jahat pimpinan Umno yang masih lagi ‘gila meroyan’ setelah hilang kuasa mereka, ” ujarnya lagi.

Maka itu tambahnya, pimpinan PH harus sentiasa berhati-hati kerana pimpinan Umno tersebut amat desperado bagi memecah-belahkan kekuatan jitu yang ada dalam PH.

Baru-baru ini tersebar luas dakwaan membabitkan fitnah yang dibuat Lokman membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelang pilihan raya kecil Parlimen Port Dickson.