Malaysia Dateline

Pemimpin Umno positif Covid-19 selepas berkempen di PRN Sabah

Seorang pemimpin Umno dilaporkan positif Covid-19 selepas berkempen di kawasan Parlimen Sipitang, sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada 26 September ini.

Memetik laporan media tempatan, sumber memberitahu, pemimpin yang juga Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno itu kini dimasukkan ke hospital bagi mendapatkan rawatan susulan dan sedang menjalani kuarantin wajib.

“Setakat ini, keadaan masih terkawal dan beliau telah dimasukkan ke hospital sebentar tadi bagi dikurantinkan bagi mendapatkan rawatan,” kata sumber itu ringkas.

Sumber turut menjelaskan semua kontak rapat pemimpin berkenaan juga telah diminta untuk melakukan ujian swab bagi mengelakkan sebarang penularan

Bagaimanapun Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata tiada laporan rasmi yang diterimanya setakat ini.

Beliau menegaskan, jika ia benar dan didapati positif, individu itu perlu dikuarantin di Sabah sehingga pulih sepenuhnya.

“Saya belum dapat laporan lagi mengenai hal itu. Jika ada, perlu dirawat sehingga pulih sebelum pulang ke semenanjung.

“Sebab itu saya sentiasa pesan patuhi prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan kerajaan,” katanya.

Kira-kira berbaki lagi lima hari untuk pemilih PRN Sabah membuang undi, kerajaan Perikatan Nasional (PN) masih belum membincangkan isu keselamatan dan kesihatan yang sewajarnya.

Ismail dalam sidang media selepas Ziarah Kasih di kawasan Sekong di Sandakan, pada semalam memberitahu, Jawatankuasa Kabinet akan membincangkan hal tersebut hanya pada Selasa ini.