Pemimpin Umno pula diusir keluar dari Sarawak

Pemimpin Umno pula diusir keluar dari Sarawak

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Ketua Umno Bahagian Sungai Besar Datuk Jamal Md Yunos pemimpin politik yang terbaru dilarang masuk ke Sarawak sebaik tiba di negeri itu pada jam 11.30 pagi tadi.

Jamal ialah pemimpin Umno pertama dihalang memasuki Sarawak menjelang pilihan raya negeri itu pada 7 Mei ini.

Sebelum itu beberapa pemimpin pembangkang turut tidak dibenarkan masuk ke negeri itu antaranya Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Exco Pulau Pinang Dr Afif Bahardin.

Difahamkan Jamal yang juga penganjur Gerakan Baju Merah itu ditahan pihak berkuasa negeri dan tidak memberikan pas keluar untuk memasuki Sarawak sebagaimana termaktub dalam Seksyen 65 (1) (a) Akta Imigresen.

Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem sebelum ini mempertahankan larangan imigresen terhadap beberapa pemimpin pembangkang dengan mengatakan beliau ingin menjaga keharmonian negeri.

Jamal tahun lepas mengetuai perhimpunan baju merah, yang menyaksikan penyokongnya menyerbu Jalan Petaling dan mengadakan demonstrasi terhadap peniaga Cina di kawasan itu.

Sarawak mempunyai hak imigresen berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963.

Dalam perkembangan terkini Jamal yang diterbangkan semula ke Kuala Lumpur dengan penerbangan MH2521  jam 2 petang tadi akan mengadakan sidang media di KLIA pada jam 4 petang ini.

TAGS