Pemimpin Umno terus mainkan sentimen politik benci

Pemimpin Umno terus mainkan sentimen politik benci

Kenyataan Menteri Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Ismail Sabri Yaakob dari UMNO di Sungai Besar adalah satu pembohongan tipikal yang berlandaskan politik kebencian seperti yang kerap dimainkan oleh pemimpin-pemimpin UMNO sebelum ini, termasuk semasa bulan suci Ramadan.

Ismail menuduh mantan Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad sedang bekerjasama dengan pihak yang mahu menafikan hak keistimewaan orang Melayu dan agama Islam, malah mengatakan “jika Mahathir sudah bersama Lim Guan Eng dan Lim Kit Siang.. Itu sudah cukup jelas menunjukkan jawapannya.”

Saya mencabar Menteri-menteri UMNO menyebut hanya satu peristiwa di mana saya telah menjadi anti-Melayu atau anti-Islam sepanjang 50 tahun penglibatan saya dalam politik, atau mereka harus berhenti menggunakan politik fitnah dan kebencian serta memberi fokus kepada langkah menyatukan rakyat agar dapat membina Malaysia yang bersatu-padu, hebat, adil dan harmoni.

Saya boleh mengemukakan satu senarai panjang berkenaan ucapan berbaur perkauman yang dilontarkan oleh Ismail dan pemimpin-pemimpin UMNO yang lain, termasuk kenyataan Ismail tahun lalu yang menggesa orang Melayu memboikot perniagaan orang Cina, tetapi bolehkah mereka menyatakan hanya satu insiden di mana saya menjadi anti-Melayu atau anti-Islam sepanjang 50 tahun ini?

Saya tidak fikir wujud mana-mana pemimpin politik lain yang terpaksa menghadapi bermacam-macam fitnah besar dalam tempoh 50 tahun ini kecuali diri saya sendiri, memandangkan saya telah dituduh dengan pelbagai jenis perbuatan yang pengecut dan jahat, terutama melalui media arus perdana yang dikawal dan dimiliki oleh Barisan Nasional.

Saya telah ditohmah dengan julukan anti-Melayu, anti-Islam, anti-Raja, anti-Cina berpendidikan sekolah Cina, anti-Cina berpendidikan sekolah Inggeris, anti-India, ejen KGB Russia, ejen CIA Amerika, ejen M16 British, ejen Perisikan Australia, dan bermacam lagi tuduhan yang tidak dapat dibayangkan.

Saya juga dituduh menjadi penyebab kepada rusuhan 13 Mei 1969 di Kuala Lumpur, kononnya terlibat dalam perarakan haram sepanjang jalan-jalan di Kuala Lumpur sambil melaungkan slogan dan provokasi anti-Melayu, malah kononnya kencing di rumah Menteri Besar Selangor pada masa itu, Datuk Harun Idris di Kampung Baru di Kuala Lumpur seperti yang digambarkan dalam filem Tanda Putera!

Namun, saya tidak berada di Kuala Lumpur semasa insiden 13 Mei tersebut ekoran saya harus ke Kota Kinabalu pada awal pagi 13 Mei untuk membantu kempen pilihanraya di Sabah dan Sarawak, dan hanya mengetahui tentang kejadian tragik di Kuala Lumpur berkenaan semasa saya dibisikkan dengan berita mengejutkan itu ketika sedang berucap di perhimpunan awam besar-besaran di ibu kota Sabah.

Pihak polis mempunyai rekod penuh tentang keberadaan saya sepanjang peristiwa 13 Mei 1969 itu berlaku, namun, walaupun pemerintah mengetahui bahawa saya tidak berada di Kuala Lumpur pada waktu itu, mereka terus-terusan mencipta pembohongan serta memutar-belit fakta kononnya saya berada di Kuala Lumpur dan bertanggungjawab terhadap rusuhan 13 Mei tersebut.

Fitnah dan penipuan untuk memburuk-burukkan saya datang dengan pelbagai versi serta bermacam-macam gabungan dan susunan baru.

Terbaru adalah dakwaan kononnya pemimpin-pemimpin Amanah telah menjadi pak turut dan boneka DAP, malah Perdana Menteri Malaysia yang paling lama berkhidmat, Tun Dr. Mahathir Mohamad turut dituduh dengan gelaran yang serupa.

Bayangkan – Mahathir menjadi pak turut Lim Kit Siang! Pihak yang mencipta pembohongan itu pasti telah mengabaikan logik dan kewarasan mereka!

Ramai rakyat Malaysia telah lupa bahawa suatu masa dahulu, pemimpin DAP pernah dituduh menjadi boneka dan pak turut PAS, malah, itu merupakan penyebab mendiang Karpal Singh dan saya sendiri tewas di kerusi parlimen pada pilihanraya umum 1999 apabila penyebar-penyebar propaganda MCA dan Gerakan menyebarkan fitnah tersebut semasa kempen sambil mendakwa kononnya satu undi untuk DAP bermakna satu undi untuk PAS dan negara Islam, serta kononnya tidak akan ada lagi sekolah jenis kebangsaan Cina, tidak akan ada lagi daging babi untuk dimakan dan tidak akan ada lagi tempat sembahyang untuk orang Buddha.

Mungkin kekalahan mengejut mendiang Karpal dan saya pada pilihanraya parlimen tahun 1999 itu yang telah membuka mata Cina dan bukan-Melayu bahawa semua dakwaan MCA dan Gerakan tentang saya dan Karpal itu fitnah semata-mata, dan walaupun ia disebarkan sepanjang 14 tahun iaitu dari 1999 hingga 2013, ia akhirnya hilang kredibiliti serta keberkesanannya di kalangan pengundi..

Namun begitu, fitnah dan penipuan yang tersebar di kawasan Melayu bahawa kononnya pemimpin-pemimpin PAS seperti Hadi dan lain-lain merupakan pak turut dan boneka DAP mempunyai jangka hayat lebih panjang serta masih dimainkan sehingga pilihanraya umum tahun 2013, malah, selepas perpecahan Pakatan Rakyat, pemimpin-pemimpin PAS pula meniru taktik jahat UMNO itu dengan menuduh pemimpin-pemimpin Amanah sebagai tali barut dan boneka DAP.

Izinkan saya bertanya kepada Presiden PAS Datuk Seri Hadi Awang sama ada beliau merupakan boneka dan pak turut DAP sepanjang tujuh tahun PAS berada dalam Pakatan Rakyat, dan jika tidak, mengapa PAS meniru taktik tidak beretika serta tidak jujur UMNO itu dengan kini menuduh Amanah sebagai tali barut dan boneka DAP?

UMNO sedang meneruskan politik ‘pecah dan perintah’ melalui politik perkauman, namun PAS kini semakin mencontohi taktik ‘pecah dan perintah’ UMNO itu dengan menggunakan politik keagamaan – sama sekali mengabaikan slogan dan pendekatan “PAS untuk semua” yang digunakan oleh parti itu sepanjang tujuh tahun bersama Pakatan Rakyat.

Setiausaha Agung DAP merangkap Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, turut dituduh sebagai anti-Melayu dan anti-Islam, sedangkan Kerajaan Negeri Pulau Pinang sepanjang lapan tahun di bawah pimpinan Guan Eng lebih banyak mempromosi Islam sebagai agama yang baik berbanding kerajaan Barisan Nasional yang memerintah Pulau Pinang untuk 51 tahun dari 1957 sehingga 2008 dahulu!

Pada tahun 1998, Guan Eng hilang kelayakan sebagai ahli parlimen, hilang elaun parlimen serta meringkuk dalam penjara selama 18 bulan, bukan kerana beliau melakukan jenayah kecurian, rompakan, pembunuhan atau rasuah, tetapi kerana beliau mempertahankan maruah dan hak seorang gadis Melayu bawah umur!

Wujudkah mana-mana kes lain dalam hampir 60 tahun politik Malaysia di mana seorang pemimpin UMNO Barisan Nasional sanggup mengorbankan kedudukan dan pencennya sebagai ahli parlimen dan sanggup pergi ke penjara semata-mata untuk mempertahankan hak asasi rakyat Malaysia dari kaum dan agama berbeza?

Malah, wujudkah walau seorang pun pemimpin UMNO Barisan Nasional yang sanggup mengorbankan masa depan politiknya dengan meringkuk di penjara bagi memperjuangkan hak rakyat Malaysia dari kaum dan agama yang sama?

Guan Eng dan saya tidak meminta sebarang pengiktirafan, penghormatan atau ucapan terima kasih untuk apa yang telah dilakukan sepanjang perjuangan politik kami, kerana apa yang kami lakukan itu akan turut dilaksanakan oleh setiap rakyat Malaysia yang patriotik – namun ia jelas melintasi garis sempadan kesopanan dan moral apabila terdapat pihak yang terus-terusan menyebarkan pembohongan dan fitnah untuk memburuk-burukkan Guan Eng dan saya dengan menuduh kami anti-Melayu dan anti-Islam tanpa sebarang asas atau bukti.

Guan Eng dan saya bukan anti-Melayu atau anti-Islam. Kami tidak menentang sebarang kaum atau agama. Kami cuma inginkan setiap rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, negeri dan parti politik bersatu-padu sebagai rakyat yang patriotik bagi menyelamatkan Malaysia dari pencabulan hak asasi manusia, amalan rasuah dan ketidakadilan sosio-ekonomi yang telah merosakkan negara yang kita semua cintai ini.

*Teks ucapan Ketua Parlimen DAP merangkap Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang di ceramah Pakatan Harapan di Kuala Kangsar.

COMMENTS

Wordpress (0)