Malaysia Dateline

Pemimpin Umno tidak cukup lega lindungi jawatan

Hari ini Umno akan mengadakan Perhimpunan Agung Khas (EGM) bagi tujuan meminda perlembagaannya iaitu pemilihan parti hanya akan diadakan enam bulan selepas PRU dilangsungkan.

Dengan pindaan itu, ia bukan saja bermaksud pemilihan Umno yang sepatutnya diadakan tahun ini akan dianjakkan sehingga PRU15 diadakan terlebih dahulu, bahkan juga terpakai sehingga ke hari kiamat.

Ini adalah sejarah baru bagi Umno kerana nampaknya peruntukan dalam perlembagaan sedia ada yang membenarkan pemilihan ditangguhkan selama 18 bulan tidak cukup melegakan buat Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi dan sesetengah pemimpin dalam parti itu melindungi jawatan mereka.

Lalu, kini ditambah pula peruntukan dalam perlembagaannya bahawa pemilihan hanya akan diadalan selepas enam bulan PRU dilangsungkan.

Menurut Zahid Hamidi, langkah meminda perlembagaan itu adalah untuk mengelakkan perpecahan dalaman berlaku dalam Umno.

“Langkah itu akan memastikan kestabilan parti menjelang PRU15 akan datang.

“Ini merupakan satu lagi langkah dan usaha keterhadapan untuk memperkasakan Umno dalam berdepan dengan cabaran mendatang.

“Pindaan itu kelak bakal meletakkan Umno dalam keadaan paling kemas, tersusun dan berdaya setiap kali memasuki gelanggang PRU,” tegasnya lagi.

Bolehkah ahli-ahli Umno yang waras percaya sepenuhnya kata-kata Zahid Hamidi itu?

Benarkah pindaan itu untuk mengelakkan perpecahan atau sebenarnya untuk mengelakkan beliau daripada hilang jawatan?

Tidak cukup lagikah dengan peruntukan 18 bulan menangguhkan pemilihan yang sedia ada dalam perlembagaan?

Kenapa Presiden Umno terdahulu cukup selesa dengan peruntukan sedia ada itu dan tidak pernah mahu menambah tempohnya dengan membuat pindaan baharu?

Dalam hal ini, tidak diragui lagi Zahid Hamidi sebenarnya tidak cukup berjiwa besar dan sedia menghadapi pemilihan Umno, meski dalam keadaan dirinya sedang berdepan hampir 100 pertuduhan di mahkamah.

Sepatutnya, dengan beban kes mahkamah yang sedang dihadapinya sekarang ini, beliau bukan saja wajar berundur, malah sangat patut memberi laluan mudah kepada Ismail Sabri yang kini merupakan Perdana Menteri untuk mengambil alih jawatannya itu.

PRU15 akan datang ini tidak sepatutnya lagi beliau terlibat, jauh sekali mahu terus mencatur calon-calon dan membenarkan dirinya sendiri bertanding lagi.

Bukankah selama ini selalu kita dengar hampir semua pemimpin Umno, termasuk Zahid Hamidi mengeluarkan kata-kata kononnya mereka sentiasa mengutamakan parti melebihi kepentingan sendiri?

Mengutamakan parti apa namanya kalau sentiasa mahu berselindung di sebalik jawatan dan melindungi jawatan dengan pelbagai cara tanpa henti-henti?