Pemimpin Umno tidak mahu takbur BN menang dua kali PRK

Pemimpin Umno tidak mahu takbur BN menang dua  kali PRK

Pemimpin Umno tidak mahu mendabik dada dengan dua kali kemenangan diperoleh pembangkang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) yang diadakan di Cameron Highlands dan Semenyih.

Congakan politik jika BN sudah memperoleh kemenangan di Cameron Highlands dan Semenyih ia akan memberi laluan mudah pada PRK Dun Rantau di situ  kubu kuat Umno.

Apatah lagi sekiranya keputusan Umno-BN memungkinkan penyandangnya Datuk Seri Mohamad Hassan mempertahankan kerusinya walaupun keputusan itu belum dimuktamadkan lagi.

Namun beberapa pemimpin utama Umno ditemui semalam, menyangkal telahan ini, Malah reaksi mereka lebih mahu menyatakan kemenangan calon BN di Semenyih dan Cameron Highlans sebagai titik tolak penolakan rakyat kepada Pakatan Harapan (PH).

Tan Sri Annuar Musa

Mereka berpendapat dengan kemenangan calon BN Zakaria Hanafi,58, di Semenyih sebagai satu referendum rakyat untuk kembali membuat pilihan bagi menentukan pemimpin dan kerajaan masa depan.

Mereka yang ditemui juga lebih selesa untuk menzahirkan rasa terima kasih kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), jentera parti, dan pengundi kerana berjaya mengendalikan proses pilihan raya dengan adil antara parti kerajaan dan parti pembangkang serta rakyat yang menyokong calon parti yang bertanding.

Berbanding menjawab soalan mengenai momentum yang mungkin akan berlaku selepas kemenangan BN di  Semenyih tidak mustahil akan diulangi di Rantau kelak.

Sebagaimana jawaban ringkas Setiausaha Agung Umno Tan Sri Annuar Musa, katanya, BN tidak perlu takbur dengan pencapaian dua kali menang PRK.

” Kita (BN) baru menang dua kali. Jangan bersikap takbur. BN kena terus tunaikan tanggungjawab sebagai pembangkang.

” Terima kasih kepada pengundi, pegawai SPR dan semua pihak yang terlibat menjalankan proses pilihan raya ini secara aman.

“Apa yang saya lihat, rakyat semakin celik dan mereka mahu suara mereka didengari oleh kerajaan yang memerintah hari ini.Sebagai pembangkang kita akan sentiasa mengingatkan kerajaan,” ujarnya.

Datuk Dr Noraini Ahmad

Bagi Ketua Pergerakan Wanita Umno Datuk Dr Noraini Ahmad beliau berpendapat keputusan PRK Semenyih ini akan menyedarkan PH agar mengotakan janji-janji dalam PRU14 yang lalu.

“Keputusan ini seperti referendum PH supaya mereka boleh berfikir semula akan janji-janji manifesto yang menyebabkan dalam PRK Semenyih sekali lagi rakyat menolak PH.

“Saya bersyukur dan ribuan terima kasih kepada jentera Umno dan BN serta muslimat Pas kerana berkempen untuk calon BN,” ujarnya.

Ketua Pergerakan Pemuda Umno Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, di Semenyih jelas menunjukkan golongan muda kini terarah untuk kembali  menyokong BN.

“Ini adalah kemenangan rakyat. Apa juga natijah di Semenyih ini tidak akan memberi perubahan kepada pertukaran kerajaan.

“Tetapi kita memberikan mesej kepada rakyat, agar rakyat dapat memberikan isyarat kepada Pakatan Harapan bahawa rakyat sudah bijaksana dan tidak boleh diperkotak-katik sesuka hati.

“Saya rasa ini gelombang rakyat mahukan perubahan. Saluran anak muda BN mendapat sokongan, ini petanda anak muda memberikan keyakinan dengan kerjasama Pas dan BN,”

“Saya juga mahu mengucapkan terima kasih kepada jentera Pemuda Pas bantu calon BN dalam kempen diadakan 14 hari,”ujarnya,

Datuk Seri Ismail Sabri

Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Ismail Sabri berkata, kemenangan BN pada PRK Cameron Highlands pada Januari dan Semenyih semalam sebagai kebangkitan rakyat.

“Rakyat sudah mula sedar bahawa apa yang dilakukan PH sebelum PRU14 hanya janji kosong semata-mata. Mereka (pengundi) tidak rela ditipu dan menerima segala bentuk penipuan.

“Jika ia (sokongan) berterusan terhadap Umno-BN, saya yakin sekali lagi BN mempunyai peluang untuk mengekalkan kerusi Dun Rantau kelak,” ujar Ahli Parlimen Bera ini.

Beliau turut berpuashati dengan perjalanan pilihan raya di Semenyih.

“Syukur di atas kemenangan ini. Terima kasih kepada semua yang terbabit melaksanakan proses pilihan raya sehingga ke hari membuang undi. Pas juga komited membantu dalam kemenangan calon BN,” ujarnya.

Semalam SPR mengumumkan calon BN Zakaria Hanapi memperolehi 19,780 undi dengan majoriti 1,914.

Dengan kemenangan itu, BN menambah satu lagi kerusi di Dun Selangor kepada lima selepas menang empat kerusi pada PRU14 . Manakala PH menguasai 50 kerusi dan satu kerusi milik Pas.

Kerusi Dun Semenyih kosong susulan kematian penyandangnya, Bakhtiar Mohd Nor daripada PH pada 11 Januari lepas.

Dun Semenyih mempunyai 54,503 pemilih berdaftar merangkumi 53,520 pengundi biasa, 951 pengundi awal dan 32 pengundi tidak hadir berada di luar negara.

Peratusan keluar mengundi  sebanyak 73.24 peratus, berbanding 87.90 peratus pada PRU14.

Pengundian awal pada Selasa lalu menyaksikan peratusan pergi mengundi ialah 78 peratus.

PRK Dun Semenyih adalah PRK keenam diadakan selepas PRU14 dengan PH menang di Dun Sungai Kandis (4 Ogos 2018), Dun Balakong dan Dun Seri Setia (8 Setember201i8) dan Parlimen Port Dickson (13 Oktober 2018), Manakala BN menang di Parlimen Cameron Highlands pada 26 Januari lalu.