Pemuda Amanah diperkenan berbuka puasa bersama Sultan Perak

Pemuda Amanah diperkenan berbuka puasa bersama Sultan Perak

Pemuda Amanah Negeri Perak mendapat penghormatan apabila dijemput menghadiri Majlis Berbuka Puasa bersama Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar.

Majlis yang diadakan pada 25 Jun lalu itu turut melibatkan banyak sektor sama ada media, sektor korporat, Badan Bukan Kerajaan (NGO), Swasta, Syarikat Berkaitan Kerajaan, Belia dan sebagainya.

Rombongan Pemuda Amanah itu diketuai oleh Pemangku Ketuanya, Mohd Fitri Asmuni bersama lima yang lain.

Segak seragam berbaju Melayu berwarna jingga, kehadiran Pemuda Amanah ternyata menjadi perhatian semua tetamu daripada seluruh negara itu.Rombongan pemuda Amanah Perak berbuka puasa di Istana

Majlis itu dimulakan dengan penyampaian zakat daripada badan-badan korporat kepada Sultan Nazrin Shah seterusnya berbuka puasa dan berterawih bersama Tuanku.

Selepas selesai majlis, Tuanku memperkenan beramah mesra dengan para tetamu termasuklah daripada rombongan Pemuda Amanah Perak.

Ketika ditemui, Mohd Fitri Asmuni merafak sembah terima kasih kepada Pejabat Istana Sultan Perak yang memperkenan menjemput Pemuda Amanah ke majlis tersebut.

Katanya, jemputan tersebut adalah satu penghormatan kepada parti Amanah secara keseluruhan walaupun parti itu baru menjangkau usia 9 bulan.

“Kami merakamkan jutaan terima kasih, ini adalah satu penghormatan besar kepada Amanah.

“Majlis ini secara tidak langsung menjadi platform untuk pihak kami membawa imej dan nama Amanah kepada semua hadirin jemputan daripada pelbagai kalangan itu,” katanya.

Bergambar kenangan di Istana Kuala Kangsar

Beliau menyatakan, Pemuda Amanah komited untuk memulakan dan meneruskan hubungan baik dengan pihak Istana.

Ia katanya adalah satu perkara penting kepada Amanah yang merupakan parti politik yang bermatlamat berkhidmat kepada masyarakat.

 

 

 

 

COMMENTS

Wordpress (0)