Pemuda AMANAH Nasional mengajak Parti Warisan Sabah (Warisan) Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) untuk sama-sama membina muafakat lebih kukuh bagi membina Malaysia yang lebih baik.
Ketua Pemuda AMANAH Nasional Hasbi Muda berkata beliau percaya pada hari penamaan calon sudah dapat diteka apa keputusannya jika tiada muafakat dan berjuang secara berasingan.
“Tidak dilupakan juga buat sahabat-sahabat baru kita dalam barisan pembangkang. Pejuang Muda, Wira Warisan dan MUDA. Marilah kita membina muafakat yang lebih kukuh bagi membina Malaysia yang lebih baik.
“Percayalah jika kita berjuang secara berasingan, kita akan kalah sejak hari pertama penamaan calon lagi. Tak perlu tunggu hari mengundi pun keputusan sudah dapat diteka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Konvensyen Pemuda AMANAH Nasional 2021 yang berlangsung hari ini.
Katanya, dalam tiga tahun ini Pakatan Harapan teruk dibadai ombak dan dilanda pelbagai ujian getir namun sesekali tidak meninggalkan kawan-kawan seperjuangan.
“Kita telah membuktikan bahawa AMANAH adalah parti yang setiakawan. Tidak pernah terdetik, jauh sekali meninggalkan rakan-rakan lama kita yang terus setia mempertahankan Pakatan Harapan.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih setulusnya buat rakan-rakan Pemuda Sosialis DAP (DAPSY), Angkatan Muda KEADILAN kerana kalian kekal setia sebagai sahabat sejati. Terbaru selamat datang UPKO menjadi kerabat baru dalam Pakatan Harapan.
“Perkara paling awal yang saya lakukan adalah membantu Saudara Ketua Pemuda Pakatan Harapan YB Howard Lee untuk memperkasakan Pemuda Pakatan Harapan.
“Alhamdulillah saya lihat hubungan antara semua sayap-sayap parti dalam Pakatan Harapan sudah semakin akrab dan saya percaya kita boleh mulai turun ke peringkat negeri,” katanya lagi.