Pemuda Amanah ajak Pemuda Umno sertai sidang meja bulat isu rumah PR1MA

Pemuda Amanah ajak Pemuda Umno sertai sidang meja bulat isu rumah PR1MA

Pemuda Amanah nasional akan mengadakan satu sidang meja bulat perumahan pada Mac depan bagi membincangkan isu dasar perumahan rakyat khususnya Skim Pembiayaan Fleksibel (SPEF) yang diperkenalkan Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA).

Ammar AtanPengerusi jawatankuasa Perumahan Pemuda Amanah Nasional Ammar Atan berkata, sidang meja bulat itu akan disertai pakar hartanah, perbankan, akademik termasuk akan menjemput Pemuda Umno.

Pemuda Umno baru-baru ini menempelak Pemuda Amanah Nasional bahawa SPEF PR1MA akan membebankan pembeli rumah serta mewujudkan masyarakat penghutang.

Sebaliknya Pengerusi Biro Hal Ehwal Bandar dan Perumahan Pemuda Umno, Nazir Hussin Akhtar Hussin berkata, SPEF adalah salah satu kaedah atau skim ditawarkan kerajaan melalui PR1MA seperti Skim ‘Rent To Own’ bagi membolehkan serta memberi kemudahan yang terbaik kepada pemohon yang ingin memiliki rumah sendiri.

Menjawab perkara itu, Ammar berkata kenyataan itu dangkal dan tidak mempunyai asas terhadap realiti rakyat.

“Kenyataan Pemuda Umno jelas tidak sensitif terhadap kesan jangka panjang yang akhirnya meletakkan rakyat di hujung tanduk,” katanya dalam sidang media di Wisma Amanah Negara, jalan Kuching hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata Pemuda Umno perlu sedar bahawa saban tahun PR1MA telah melebarkan kadar pendapatan pemohon rumah sejak 2012 dan kini sehingga RM15,000.

“Pada kadar pendapatan ini jelas PR1MA bukan lagi hanya untuk rakyat berpendapatan rendah dan pertengahan malah mereka yang berpendapatan tinggi atau T20 boleh memohon rumah ini sedangkan masih ramai golongan muda yang tidak mempunyai rumah,” katanya.

Menurut beliau juga, berdasarkan laporan Khazanah ResearchInstitute (KRI), rumah yang ada di pasaran tidak benar-benar mampun milik kerana kurang isentif serta tiada R&D dan usaha untuk membina dengan lebih baik.

“Malah kadar harga rumah yang ditawarkan bagi rumah mampu milik adalah 4.4 kali ganda di luar kemampuan rakyat berdasarkan pendapatan rakyat,” jelasnya.

 

TAGS