Malaysia Dateline

Pemuda AMANAH akan tetapkan tarikh lantik ketua baharu

Selepas pengumuman pemecatan ketua Pemuda AMANAH Nasional pada semalam, sayap parti itu akan menetapkan satu tarikh yang bersesuaian untuk memilih ketuanya dalam masa terdekat.

Ia susulan tindakan keluar parti oleh Adun Titi Serong, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim yang menyokong pembentukan kerajaan Perikatan Nasional (PN) di Perak yang sekaligus meninggalkan Pakatan Harapan (PH).

Timbalan Ketuanya, Shazni Munir Ithnin, walau bagaimanapun menegaskan, tidak akan ada AJK AMANAH yang lain akan mengikuti jejak langkah bekas ketuanya itu.

“Jawatankuasa Kepimpinan Pemuda AMANAH Nasional tetap berdiri kukuh dalam organisasi Pemuda AMANAH dan tidak ada walau seorang pun yang akan mengikuti jejak beliau.

“Bahkan Ketua-Ketua Pemuda AMANAH Negeri telah mengeluarkan kenyataan mengutuk dan mengecam tindakan tidak bertanggungjawab dan khianat tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, sekurang-kurangnya 12 kenyataan media daripada kepimpinan sayap parti menyelar tindakan Hasnul.

Selain kenyataan Shazni, Setiausahanya, Muhamad Fadzil Ahamad dan bekas Naib Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Wan Anwar Wan Ibrahim juga bersuara.

Turut membidas tindakan Hasnul mengisytiharkan dirinya sebagai Adun Bebas di Perak ialah Wanita Muda AMANAH (WARDA) Nasional yang menyifatkannya tidak berprinsip dan mementingkan jawatan daripada mempertahankan maruah dan mandat rakyat.

Keputusan Hasnul menyokong kerajaan pintu belakang PN juga menerima sanggahan ketua-ketua Pemuda AMANAH Negeri.

Antara terawal memberi kenyataan rasmi ialah Ketua Pemuda AMANAH Selangor, Muhammad Fauzi Hasim; Ketua Pemuda AMANAH Johor, Taqiuddin Cheman dan Ketua Pemuda AMANAH Negeri Sembilan, Mohd Hanis Alimin.

Bahkan, Pengerusi Mahasiswa AMANAH Nasional, Amin Mubarak serta Ketua Pemuda AMANAH Shah Alam, Firdaus Mokhtar juga membantah keras pengkhianatan yang dilakukan oleh Hasnul.

Justeru, Shazni berkata, pemuda AMANAH akan mengambil sikap untuk meneruskan gerak kerja pemuda di setiap peringkat.

Beliau berkata, sikap dan pendirian ini terbina oleh kerana AMANAH wujud diatas konsep “collective-leadership” yang meletakkan AMANAH dikedudukannya sekarang.