Malaysia Dateline

Pemuda AMANAH anggap dasar gaji minimum versi BN-PN dilaksana tanpa perancangan

Pemuda AMANAH Nasional menyifatkan pelaksanaan gaji minimum versi kerajaan BN-PN dilaksanakan tanpa perancangan apabila jelas akan merosakkan ekonomi dan mendiskriminasi perusahan mikro yang majoritinya Melayu dan Bumiputera.

Pengarah Biro Ekonominya, Ammar Atan berkata, rata-rata pemilik perniagaan yang ditemuinya mengeluh dihimpit lonjakan tinggi kos gaji apabila gaji minimum dinaikkan 25 peratus pada ketika operasi perniagaan belum pulih ke paras pra-pandemik.

Menurutnya, sudah setengah bulan berlalu sejak gaji minimum RM1,500 diperkenalkan secara tergopoh-gapah oleh kerajaan BN-PN dengan semua industri, termasuk yang mengalami kerugian pada tempoh pandemik Covid-19 dipaksa membayar gaji lebih tinggi bermula 1 Mei lalu.

Tegasnya, Perdana Menteri dan Menteri Sumber Manusia gagal sebagai pemimpin negara apabila tiada “grace period” diberi untuk syarikat-syarikat bersedia melaksanakan gaji minimum baharu.

“Kerajaan BN-PN juga tiada perancangan jangka panjang yang relevan. Gaji minima baharu diumumkan secara terburu-buru semata-mata untuk PM Ismail Sabri Yaakob ingin kelihatan sebagai “hero” di Perhimpunan Agung Umno,” ujarnya.

Sehubungan itu, Pemuda AMANAH Nasional, katanya, menggesa kerajaan BN-PN agar memperkenalkan sistem gaji minimum yang adil kepada majikan dan pekerja.

“Majikan yang mengalami isu aliran tunai tidak harus ditekan dengan beban gaji lebih tinggi, dan pada masa yang sama, pekerja tidak boleh dianaktirikan,” katanya.

Dalam masa sama, ujarnya, paras gaji minimum RM1,500 perlu dilaksanakan di semua sektor di Semenanjung, Sabah dan Sarawak dengan hanya majikan di sektor atau syarikat tertentu yang menjana keuntungan besar pada tempoh pandemik diperintah membayar gaji minimum RM1,500.

“Antara sektor/syarikat tersebut adalah perbankan, pembuatan sarung getah, teknologi dan sebagainya.

“Bagi sektor/syarikat lain, gaji minimum kekal pada RM1,200 tanpa mengira saiz perniagaan. Saya mengusulkan agar kerajaan memberi tambahan upah sebanyak RM300 kepada pekerja-pekerja ini dalam bentuk suntikan tunai.

Kerajaan juga, katanya, disaran agar menampung tambahan upah selama 12 bulan sehingga pertengahan tahun 2023 bagi memberi masa persediaan kepada sektor mikro, kecil dan sederhana (PMKS) kepada paras gaji minimum baharu.

“Kurang daripada 10 peratus pekerja PMKS atau 730,000 individu dianggarkan bergaji bawah RM1,500.

“Kalaupun suntikan tunai RM300 diberi kepada 730,000 individu ini, kos yang perlu ditanggung kerajaan hanyalah RM219 juta sebulan,” ujarnya.

Manfaat tersebut, jelasnya, sangat besar dan berimpak kepada ekonomi negara dengan kuasa beli rakyat dapat dikukuhkan manakala majikan dapat dielak daripada melengahkan proses mengembangkan operasi mereka kerana bebanan kos.

“Masih belum terlambat untuk kerajaan BN-PN membetulkan kesilapan mereka. Jangan kerana silap ini rakyat dan majikan di Malaysia dianiaya,” tambah Ammar lagi.

Dasar gaji minimum versi BN-PN dilihat tidak adil kepada majikan dan pekerja.