Malaysia Dateline

Pemuda AMANAH anggap demokrasi negara teruji dengan pentadbiran caca merba

Demokrasi negara ibarat sedang diuji selepas kuasa Persekutuan dirampas oleh kerajaan yang tidak dipilih rakyat, kata Ahli Jawatankuasa Pemuda AMANAH Nasional, Abbas Azmi.

Beliau berkata, ini merupakan cabaran yang getir untuk melihat sama ada Perikatan Nasional (PN) akan membawa kemajuan, atau terus mengheret negara jauh kebelakang ekoran percaturan politik yang tidak meyakinkan rakyat.

Beliau juga menyifatkan pentadbiran PN hari ini sebagai ‘caca merba’ yang tiada hala tuju.

“Apa yang berlaku hari ini memperlihatkan bahawasanya demokrasi dalam negara sedang diuji, dan ujian ini sangatlah berat.

“Saya menganggap Langkah Sheraton adalah usaha yang telah merosakkan demokrasi.

“Tertubuhnya kerajaan yang tidak dipilih rakyat dalam pilihanraya, ditambah pula kerajaan tak ada manifesto, menjadikan kerajaan ini caca merba,” katanya dalam satu siaran langsung di Facebook The Perspektif malam tadi.

Mengulas lanjut, Abbas akui bahawa ketidaktentuan sektor ekonomi yang sedang dihadapi negara ketika ini disebabkan kesan politik yang tidak stabil.

Menurutnya, biarpun anak muda tidak lagi berminat mendengar hal-hal politik, namun politiklah yang akan menentukan kestabilan negara.

“Pelabur asing dan tempatan memainkan peranan penting dalam menjana ekonomi. Apabila mereka melihat kestabilan politik tak kuat, maka mereka beranggapan ini akan membahayakan pelaburan mereka dalam negara.

“Justeru, mereka menarik balik pelaburan ini. Akibatnya banyak penutupan kilang besar, ekonomi tak stabil dan tak dapat kepercayaan pelabur luar.

“Akan berlakulah inflasi, pengangguran ketara dan ini kesan daripada politik tak stabil, caca merba sehingga tidak mendapat keyakinan pelabur tempatan dan asing,” katanya lagi.