Malaysia Dateline

Pemuda AMANAH anggap Muhyiddin terbaik kembali bersama Umno

Membiarkan Muhyiddin segera kembali bersama Umno adalah jalan terbaik bagi memastikan beliau kekal sebagai Perdana Menteri selain mempunyai ruang lebih cerah bertahan dalam politik negara.

Naib Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Abbas Azmi berkata, melihat kepada senario politik melibatkan parti pemerintah, Muhyiddin pastinya tidak mampu menyaingi Tun Dr Mahathir dalam Bersatu apatah lagi setelah dilabel sebagai pengkhianat kepada Pakatan Harapan.

Beliau berkata, jika Muhyiddin kembali ke pangkuan Umno, serangan terhadap beliau sebagai Presiden Bersatu tidak lagi menjadi keutamaan.

Bahkan katanya, Muhyiddin akan diangkat menjadi pahlawan kerana jasa beliau menjatuhkan kerajaan PH dan sanggup kembali bersama Umno demi survival orang melayu.

“Apabila Muhyiddin Yassin menjadi PM, sudah tentulah Umno yang menyokong beliau akan berdiam diri taat kepada Muhyiddin.

“Kemudian mereka akan mencari jalan melenyapkan pengaruh Bersatu yang dianggap seteru rapat mereka,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah Abbas, walaupun Muhyiddin ketika ini adalah Perdana Menteri namun dalam Bersatu beliau adalah orang nombor dua.

Katanya, imej Muhyiddin tenggelam di dalam partinya sendiri apatah lagi pendirian berbeza antara Pengerusi dan Presiden yang menyaksikan satu pihak mahu bersama PH dan satu lagi mahu bersama PN.

Menurutnya juga, adalah sukar bagi seorang Presiden untuk membuat keputusan dek kerana adanya dua nakhoda yang berlainan arah.

“Tun M boleh berbincang dengan PH tetapi tidak boleh bersama Umno. Manakala Presiden pula sebaliknya.

“Maka ia menimbulkan konflik antara parti kedua-dua pakatan ini. Apabila Muhyiddin kembali kepada Umno, maka jelaslah hubungan antara parti dan tidak timbul kecelaruan lagi.

“Muhyiddin pasti tidak akan kekok berada kembali bersama Umno kerana dia telah berpuluh tahun bersama bahkan karier politiknya bermula dan bersinar di dalam Umno,” ujarnya.

Pada masa sama, Abbas menyarankan agar Umno seharusnya memberi salam lebih awal untuk menjemput Muhyidin menyertai parti itu.

Jelasnya, pemimpin Umno perlu memikirkan survival parti dan apabila Muhyiddin kembali kepada Umno, maka ruang lebih besar bakal terhidang.

Malah katanya, persaingan pengundi pun kembali mengecil hanya dengan Pas yang kini sudah tidak ada kekuatan melainkan mengikut arus sahaja.

“Maka kembalinya Muhyiddin kepada Umno akan menyelamatkan banyak perkara sekali gus rakyat boleh melihat persaingan jelas antara PN dan PH.

“Apabila tiba pilihanraya nanti rakyat mudah membuat keputusan parti mana yang mereka akan undi berbanding keadaan sekarang. Ibarat Muhyiddin ini sedang berada di kayangan terawang-awangan,” tempelaknya.