Malaysia Dateline

Berjaya satukan Pemuda AMANAH kenangan manis Hasbie selepas 100 hari jadi ketua

Kejayaan utama bagi Hasbie Muda selepas 100 hari menjadi Ketua Pemuda AMANAH adalah berjaya menyatukan Pemuda AMANAH yang sebelum ini renggang kepada dua kumpulan utama.

Dalam satu wawancara khas dengan Malaysia Dateline, Hasbie berkata, Pemuda AMANAH kini tidak lagi ketara mempunyai dua kumpulan berlainan.

“Paling utama adalah dapat mengharmonikan kesatuan dalam kalangan pimpinan Pemuda AMANAH Nasional yang sebelum ini agak renggang kesan pemilihan parti tahun 2019 yang lalu.

“Walaupun unsur perpuakan masih wujud di beberapa tempat tetapi tidak lagi serius.

“Pemuda kini sudah bergerak sebagai sebuah pasukan yang InsyaAllah akan lebih kukuh dan mantap sedikit masa lagi,” kata Hasbie.

Pada pemilihan 2019 lalu Pemuda AMANAH berpecah sekurang-kurangnya kepada dua kumpulan yang akhirnya dimenangi oleh kumpulan yang dipimpin oleh Hasnul Zulkarnain Abdul Munim.

Hasnul dilantik sebagai Ketua Pemuda AMANAH Nasional bagi sesi 2019-2022 bagi menggantikan Sany Hamzan yang juga merupakan ADUN Templer.

Hasnul yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Titi Serong merangkap Exco Komunikasi, Multimedia dan NGO Negeri Perak memperoleh 214 undi daripada 365 pengundi yang hadir dalam pemilihan Jawatankuasa Pemuda AMANAH Nasional, di Dewan Komuniti Batu Muda, Kuala Lumpur.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Shazni Munir yang memperoleh 195 undi dalam pemilihan Ahli Jawatankuasa AMANAH Nasional pula dipilih sebagai Timbalan Ketua Pemuda.

Selepas Hasnul meninggalkan AMANAH, Shazni Munir telah dilantik sebagai Ketua Pemuda AMANAH yang baharu namun beliau meninggal dunia pada 6 Ogos 2021 yang lalu akibat Covid-19.

Hasbie kemudiannya dilantik sebagai ketua pemuda yang baharu pada 23 Oktober 2021 lalu dan kelmarin genaplah beliau memimpin Pemuda AMANAH selama 100 hari.

Sempena 100 Hari sebagai Ketua Pemuda, MOHD HASBIE MUDA menjawab 6 soalan dari Malaysia Dateline.

  1. Apa kenangan paling manis dalam 100 hari pertama sebagai Ketua Pemuda AMANAH?

Kenangan paling manis adalah apabila saya menyedari banyak beban-beban tugas yang dipermudahkan oleh Allah dengan bantuan yang datang tanpa disangka-sangka.

  1. Apa peristiwa yang paling tak dapat dilupakan dalam 100 hari pertama ni?

Paling tidak dilupakan adalah hari-hari awal memegang jawatan ini kerana terasa begitu beratnya beban.

  1. Apa kejayaan yang paling utama dalam 100 hari pertama saudara sebagai ketua pemuda?

Paling utama adalah dapat mengharmonikan kesatuan dalam kalangan pimpinan Pemuda AMANAH Nasional yang sebelum ini agak renggang kesan pemilihan parti tahun 2019 yang lalu.

Walaupun unsur perpuakan masih wujud di beberapa tempat tetapi tidak lagi serius.

Pemuda kini sudah bergerak sebagai sebuah pasukan yang InsyaAllah akan lebih kukuh dan mantap sedikit masa lagi.

  1. Apa pengajaran yang akan diambil selepas 100 hari pertama yang akan dibawa untuk memimpin Pemuda AMANAH?

Perlunya untuk terus menunjukkan teladan yang baik kepada semua supaya kepimpinan Pemuda tidak dilihat hanya cakap tapi tidak bertindak.

Saya percaya bahawa pemimpin perlu memikul beban yang lebih banyak berbanding pengikut. Pemimpin perlu lebih banyak berkorban berbanding pengikut. Barulah sesebuah organisasi dapat bergerak dengan lebih berkesan.

  1. Selepas 100 hari sebagai ketua pemuda apakah saudara fikir AMANAH ada masa depan dalam politik negara ini?

Saya percaya bahawa AMANAH tetap mempunyai masa depan dalam politik Malaysia bergantung kepada sejauh mana kita memahami denyut nadi rakyat dan sejauh mana kita mengangkat nilai-nilai progresif dan amanah yang kita perjuangkan.

  1. Siapakah tunggak di belakang saudara sebagai pemimpin AMANAH?

Paling utama adalah isteri saya serta keluarga yang sentiasa menyokong penglihatan saya dalam politik. Juga rakan-rakan dalam barisan Pemuda AMANAH Nasional yang memberikan sokongan dan dukungan yang cukup padu untuk saya memimpin sayap ini.