Malaysia Dateline

Pemuda AMANAH bimbang kematian kanak-kanak di Yaman meningkat

Pemuda AMANAH menzahirkan kebimbangan mengenai krisis kemanusiaana yang semakin meruncing di Yaman, khususnya jumlah kematian meningkat akibat kekurangan nutrisi.

Demikian dinyatakan oleh Timbalan Ketua Pemuda AMANAH, Faiz Fadzil dalam kenyataan beliau.

Jelasnya lagi, jumlah kematian kanak-kanak yang semakin meningkat akibat peperangan di negara tersebut adalah sesuatu yang serius dan membimbangkan.

Malah katanya, menurut laporan badan kebajikan, Save the Children yang berpengkalan di London, dianggarkan seramai 85,000 kanak-kanak yang berusia di bawah lima tahun telah meninggal dunia akibat kekurangan nutrisi sepanjang tiga tahun peperangan di Yaman.

Ujarnya lagi, sekiranya peperangan di Yaman tidak dihentikan, dibimbangi jumlah kematian akan meningkat.

“Krisis di Yaman telah pun bermula sejak 2015 apabila pakatan yang diketuai oleh Arab Saudi melibatkan Kuwait, Emiriiah Arab Bersatu, Bahrain, Mesir, Maghribi dan Jordan telah bertindak menyerang Yaman.

“Akibatnya rakyat Yaman telah bangkit menentang sehingga wujud peperangan yang besar di negara tersebut.

“PBB juga menyatakan peperangan ini telah mengakibatkan 6,800 penduduk awam terkorban, manakala 10,700 yang lain mengalami kecederaan, ” tegasnya lagi.

Menurut Faiz lagi, peperangan tersebut juga telah mengakibatkan lebih 1.9 juta rakyat Yaman menjadi pelarian di negara mereka sendiri.

Selain itu katanya, peperangan yang berlaku turut menyebabkan penduduk Yaman menghadapi krisis keselamatan makanan yang meruncing dan wabak penyakit seperti Kolera yang semakin menular.

“Pemuda AMANAH menggesa kerajaan menggunakan peranan sebagai salah sebuah negara anggota OIC mendesak diadakan satu persidangan tergempar bagi membincangkan krisis kemanusiaan yang semakin meruncing di Yaman khususnya melibatkan kanak-kanak.

“Kita tidak mahu lagi melihat adanya kanak-kanak di Yaman terus terkorban akibat kekurangan nutrisi disebabkan peperangan yang masih tidak menunjukkan tanda-tanda akan berakhir.

“Justeru, bantuan kemanusiaan perlu segera dihantar ke kem-kem pelarian agar para pelarian khususnya kanak-kanak tidak diancam kebuluran dan kekurangan nutrisi yang serius, ” katanya lagi.

Tambah Faiz, Pemuda AMANAH mendesak agar peperangan di Yaman dihentikan dengan segera serta PBB harus berperanan serius dalam menangani krisis yang berlarutan sekian lama.