Malaysia Dateline

Pemuda AMANAH dedahkan 4 rumah urut di Kuala Terengganu

Ekoran ugutan Kerajaan Negeri Terengganu akan menyamannya kerana mendakwa Kuala Terengganu mempunyai empat rumah urut, Ketua Pemuda AMANAH Terengganu mendedahkan gambar ke empat-empat rumah urut itu dengan lokasinya sekali.

Zamir Ghazali membuat pendedahan itu ketika menjawab kenyataan Exco kerajaan negeri, Dr Alias Razak yang mendakwa beliau memfitnah kerajaan negeri.

Majlis Bandaraya Kuala Terengganu juga dikatakan sedang menyiapkan dokumen saman mereka tehadap Zamir dan juga Jeming Hassan yang menyiarkan temubual pendedahan itu melalui Youtube.

Menurut pendedahan itu, rumah urut itu terletak di Jalan Kampung Cina, Jalan Dato’ Isac dan dua lagi yang tidak dimanakan jalannya tetapi terletak di Kuala Terengganu.

Zamir mendakwa, beliau tidak mendakwa kerajaan negeri Terengganu meluluskan ‘lesen rumah urut maksiat’ tetapi rumah urut yang ada itu telah disalahgunakan untuk kegiatan maksiat.

Media melaporkan, Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, kerajaan Terengganu tidak membenarkan premis rumah urut tidak bermoral untuk beroperasi di negeri ini.

“Kita tidak membenarkan rumah urut maksiat beroperasi di negeri ini. Apa yang ada hanyalah rumah urut tradisional yang menyediakan perkhidmatan urut yang diluluskan kerajaan terdahulu serta beberapa pusat urutan kaki atau refleksologi.

“Terdapat juga perkhidmatan urutan tradisional yang dibenarkan beroperasi seperti urutan kampung yang menggunakan perkhidmatan tukang urut wanita untuk pesakit wanita serta tukang urut lelaki untuk pesakit lelaki.

“Kita tidak pernah membenarkan atau mengeluarkan lesen bagi rumah urut yang menyediakan perkhidmatan tidak bermoral untuk beroperasi di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas dakwaan Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) bahawa kerajaan Terengganu membenarkan rumah urut yang menyediakan perkhidmatan tidak bermoral beroperasi di negeri ini.

Perkara itu didedahkan Ketua Pemuda Amanah Terengganu, Zamir Ghazali dan Ketua Pemuda Amanah Kelantan, Hazmi Hassan menerusi video berdurasi 11:07 minit yang disiarkan melalui saluran YouTube pada Rabu lalu.

Berdasarkan video itu, Zamir mendakwa setakat ini terdapat sebanyak empat rumah urut yang berlesen dibenarkan beroperasi di sekitar Bandaraya Kuala Terengganu dan kini ditutup ekoran wabak koronavirus (Covid-19).

“Kita perhatikan, rumah urut ini beroperasi seperti biasa sebelum penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac lalu dan kini ditutup disebabkan arahan oleh kerajaan yang tidak membenarkan premis terbabit beroperasi dalam tempoh PKP,” katanya.