Malaysia Dateline

Pemuda AMANAH desak bentuk segera RCI tangani kepincangan badan kehakiman

Pemuda AMANAH menggesa kerajaan supaya segera menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Di Raja (RCI) bagi menyiasat secara menyeluruh, bebas dan adil kepincangan yang didakwa berlaku dalam badan kehakiman.

Demikian dinyatakan oleh Timbalan Ketuanya, Faiz Fadzil.

Jelas beliau lagi, Pemuda AMANAH menyokong penuh cadangan Hakim Mahkamah Rayuan, Hamid Sultan Abu Backer dalam afidavitnya menyokong permohonan Sangeet Kaur Deo untuk mengisytiharkan bahawa Ketua Hakim Negara gagal mempertahankan integriti dan kredibiliti badan kehakiman ekoran campurtangan dalam dua kes yang melibatkan pendakwaan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim dan mendiang Karpal Singh.

Di samping itu ujar Faiz lagi, Hakim Hamid Sultan dalam afidavit tersebut mendedahkan terdapat hakim kanan yang bimbang dengan kemenangan Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya umum (PRU) ke -4 yang lalu kerana akan diheret ke tribunal.

“Bagi Pemuda AMANAH, kebimbangan ini tidak akan wujud sekiranya tidak berlaku pelanggaran etika hakim atau salah laku perlembagaan.

“Mengambil kira kontroversi lanjutan jawatan Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan yang lalu, meskipun telah melepasi usia persaraan wajib 66 tahun merupakan pelanggaran jelas peruntukan Perkara 125 Perlembagaan Persekutuan.

“Ia adalah satu krisis perlembagaan yang menunjukkan kemungkinan wujud campurtangan kuasa kehakiman yang dicaturkan oleh pihak yang berkuasa tatkala itu sehingga mewajarkan satu siasatan rapi dijalankan melalui RCI,” ujar beliau lagi.

Faiz yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Permatang Pasir turut berkata, pendedahan oleh Hakim Hamid Sultan yang dibuat melalui dokumen bersumpah adalah suatu perkara serius yang menimbulkan persoalan wajar samada hakim-hakim selama ini telah menjalankan fungsi kehakiman mereka dengan adil, bebas, digniti dan berintegriti dalam kes-kes tertentu.

Sehubungan itu tambahnya, bagi merungkai kebimbangan umum tersebut, adalah amat wajar RCI ditubuhkan dengan segera bagi menyiasat secara menyeluruh, bebas dan adil akan kepincangan badan kehakiman serta meletakkan semula kesucian badan kehakiman sebagai undang-undang tertinggi negara.

Tegasnya lagi, pemulihan kebebasan badan kehakiman adalah elemen penting prinsip keluhuran undang-undang.