Pemuda Amanah desak hentikan PLKN, kembalikan biasiswa pelajar

Pemuda Amanah desak hentikan PLKN, kembalikan biasiswa pelajar

Kesal dengan kenyataan menteri kononnya kerajaan pusat menjimatkan RM240 juta apabila menghentikan pemberian biasiswa pelajar ke luar negara, Pemuda Amanah Nasional menggesa pentadbiran Najib supaya menghentikan program latihan khidmat negara (PLKN) yang membabitkan kos RM600 juta setahun dan mengembalikan semula biasiswa untuk para pelajar pintar.

Ahmad Fadhli Umar Aminolhuda

Kesal dengan kenyataan menteri kononnya kerajaan pusat menjimatkan RM240 juta apabila menghentikan pemberian biasiswa pelajar ke luar negara, Pemuda Amanah Nasional menggesa pentadbiran Najib supaya menghentikan program latihan khidmat negara (PLKN) yang membabitkan kos RM600 juta setahun dan mengembalikan semula biasiswa untuk para pelajar pintar.

“Terkini dalam Sidang Dewan Rakyat semalam (30 Mac), didedahkan bahawa PLKN telah memakan belanja tahunan tidak kurang daripada RM600 juta setahun. Nah, apa maknanya program yang dilihat gagal dan jelas membazir selain dipenuhi kontroversi-kontroversi memualkan seperti anak luar nikah, rogol dan kes bunuh akibat buli yang dianggarkan lebih dari 10 kes boleh dikekalkan peruntukan sedemikian banyak?” soal Exco Pemuda Amanah Nasional, Ahmad Fadhli
Umar Aminolhuda.

Malah Ahmad Fadhli mempersoalkan mengapa PLKN memakan belanja lebih RM400 juta pada 2015 walaupun tidak dilaksanakan.

“Ke manakah wang tersebut digunakan walhal program ini langsung tidak berjalan pada tahun tersebut?” soal beliau.

Januari lalu, kerajaan pusat melalui pengubahsuaian Bajet 2016 telah mengumumkan penarikan biasiswa luar negara khususnya kepada 744 pelajar program ‘bursary’ di bawah Kementerian Pendidikan.

Sehubungan itu, ada di kalangan para pelajar terbabit yang sudah mendapat tawaran belajar di universiti-universiti terkemuka luar negara terpaksa menolak tawaran tersebut kerana ketiadaan penaja.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman ketika menjawab soalan anggota Dewan Rakyat mendedahkan bahawa kerajaan telah melakukan ‘penjimatan’ sebanyak RM240 juta hasil penarikan balik biasiswa tersebut.

Kecewa dengan penjelasan Azalina, Ahmad Fadhli mempersoalkan terma ‘jimat’ yang digunakan kerajaan kerana ia pada kebiasaannya digunakan untuk hal-hal yang menjurus ke arah pembaziran.

“Adakah Kerajaan Malaysia pimpinan BN mahu memberikan mesej bahawa biasiswa yang dimanfaatkan untuk membina generasi terbaik selama ini merupakan satu pembaziran hingga perlu kepada ‘penjimatan’?” soalnya kesal.

Ahmad Fadhli yang juga Pengerusi Mahasiswa Amanah berkata, sejak dari awal pengubahsuaian Bajet 2016 pada 28 Januari lalu, pihaknya telah mendesak agar penarikan balik biasiswa khususnya kepada 744 penerima ‘bursary’ dan lepasan SPM 2015 dibatalkan.

“Bahkan di media-media sosial, kami konsisten mendesak kerajaan melalui kempen besar-besaran hashtag #KembalikanBiasiswa,” katanya.

Menurut beliau, oleh kerana perbelanjaan PLKN jauh lebih besar berbanding biasiswa pelajar cemerlang, Pemuda Amanah mendesak ia dihentikan terus bagi tujuan penjimatan dan hak biasiswa 744 penerima ‘bursary’ dan lepasan SPM 2015 dikembalikan.

“Bayangkan apabila pelajar-pelajar cerdik dan cemerlang ini pulang ke negara kelak, bukankah mereka akan memberikan keuntungan pada negara apabila berkhidmat dalam sektor-sektor penting dan besar? Tidakkah itu merupakan satu pelaburan jangka panjang buat Malaysia?

“Justeru itu, kami sekali lagi menegaskan bahawa kerajaan wajib menghentikan program PLKN yang jelas membazir dan gagal, sebaliknya menggunakan dana beratus juta itu untuk #KembalikanBiasiswa!” tegasnya.

TAGS