Malaysia Dateline

Pemuda AMANAH desak kerajaan selesaikan segera isu kenaikan harga barang

Pemuda AMANAH Nasional mendesak kerajaan segera mengambil tindakan untuk mengawal harga barangan keperluan yang semakin tinggi terutama harga runcit bagi sekilogram ayam.

Timbalan Ketuanya, Muhamad Taqiuddin Cheman berkata, beberapa aduan yang diterimanya menunjukkan kenaikan harga barang yang lebih tinggi di beberapa kawasan luar bandar.

Apa yang mengecewakan katanya, pihak kerajaan tidak bertindak secara pro aktif untuk mengatasi masalah tersebut tetapi memberi cadangan yang tidak realistik dengan meminta pengguna memilih pasaraya berbanding pasar awam untuk membeli ayam.

“Pihak kerajaan khususnya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sepatutnya maklum bahawa tidak semua kawasan mempunyai pasar raya.

“Malah KPDNHEP juga seharusnya dapat membezakan antara ayam segar yang dijual di pasar awam dan ayam sejuk beku yang dijual di pasar raya.

“Langkah penyelesaian yang seharusnya dimainkan oleh kerajaan adalah melihat punca sebenar terhadap masalah ini yang mungkin berpunca daripada kegiatan monopoli dan selanjutnya menggunakan kuasa yang ada untuk menyelesaikannya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini

Beliau memaklumkan, kenaikan harga ayam di pasaran begitu ketara sehingga mencecah RM11.80 sekilogram di sesetengah tempat.

Taqiuddin berkata, dalam keadaan yang tertekan pada ketika ini, rakyat memerlukan sebuah kerajaan yang tangkas dan segera bertindak untuk menyelesaikan masalah timbul.

“Pemuda AMANAH Nasional mendesak kerajaan segera mengambil tindakan untuk mengawal harga barang keperluan pengguna yang tinggi ini dan menunjukkan iltizam politik untuk menyelesaikannya demi kemakmuran Keluarga Malaysia seperti yang dilaungkan,” ujarnya.