Malaysia Dateline

Pemuda AMANAH desak KKM batal kompaun enam pelajar matrikulasi Perak

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) didesak supaya membatalkan kompaun yang dikenakan terhadap enam orang pelajar matrikulasi Gopeng yang telah dikompaun sebanyak RM1, 500 seorang kerana didakwa tidak memakai pelitup muka.

Menurut Naib Ketua Pemuda AMANAH Negeri Perak, Mohd Fitri Asmuni, tindakan KKM jelas tidak mencerminkan sikap bijaksana dan budi bicara yang sepatutnya dilaksanakan oleh mereka dan sudah selayaknya dikritik rakyat.

Jelasnya lagi, adalah amat malang apabila pihak berkuasa mengambil masa terlalu lama untuk mengambil tindakan terhadap individu dari golongan VIP, namun begitu mudah dan pantas mengenakan tindakan apabila kes pelanggaran SOP dilakukan oleh rakyat bawahan.

“Difahamkan, pelajar terbabit sudah empat bulan tinggal di matrikulasi tersebut dan mereka tidak dibenarkan pulang ke rumah kerana mematuhi SOP yang telah ditetapkan oleh pihak kementerian. Sudah pasti perasaan pelajar yang terkurung itu dapat diselami oleh kita semua.

“Keenam enam pelajar tersebut telah dikompaun oleh pihak KKM ketika mereka datang ke matrikulasi baru-baru ini ekoran berlakunya insiden keracunan makanan di situ.

“Malah sejak kerajaan mengeluarkan arahan kompaun sebanyak RM10 ribu kepada pesalah kompaun, ramai yang telah menghubungi saya dan menceritakan rungutan mereka mengenai tindakan kerajaan dan kes yang berlaku ke atas enam pelajar terbabit adalah sangat serius dan keterlaluan, ” katanya yang juga merupakan Pengerusi KANUN Pemuda AMANAH Nasional.

Pada masa yang sama Mohd Fitri memberi jaminan, beliau sebagai wakil peguam KANUN Negeri Perak bersedia untuk menawarkan khidmat guaman kepada pelajar terbabit sekiranya isu tersebut gagal diselesaikan oleh KKM dengan kadar segera.