Malaysia Dateline

Pemuda AMANAH desak Muhyiddin dedah SD buktikan status majoriti

Pemuda AMANAH Nasional mendesak agar Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mendedahkan akuan bersumpah yang membuktikan beliau mempunyai status majoriti dalam kalangan ahli parlimen.

Timbalan Pemudanya, Shazni Munir Mohd Ithnin, berkata, ini kerana dengan pendedahan berani yang dibuat oleh Tun Dr Mahathir semalam, jelas bahawa majoriti memihak kepada Pakatan Harapan (PH).

Beliau berkata, Muhyiddin yang berkemungkinan besar telah mengelirukan Yang Di-Pertuan Agong (YDPA) berhubung status ‘majoriti’ yang dimiliki, harus membuktikan kepada awam bahawa beliau benar-benar memperoleh mandat majoriti untuk mentadbir Putrajaya.

“Pakatan Harapan, Warisan serta ahli-ahli parlimen yang mendokong Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri telah pun mendedahkan kepada umum jumlah sokongan majoriti 114 yang mereka miliki.

“Bahkan jumlah ini dipercayai bakal bertambah ekoran perasaan malu ahli-ahli parlimen lainnya untuk bersama dengan kerajaan yang berhimpun yang dalamnya terdiri dari gerombolan perasuah dan penyamun.

“Lantas kami mendesak agar Tan Sri Muhyiddin tampil ke depan mendedahkan sokongan sebenar yang beliau miliki,” tegasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada sama beliau berkata, selagi Muhyiddin tidak membuktikan majoriti yang dimiliki, masyarakat awam akan terus mempersoalkan legitimasi kerajaan pintu belakang yang beliau ketuai.

“Jika benar beliau berstatus majoriti, beliau tidak perlu lari dengan gesaan sederhana ini,” ujarnya.