Pemuda AMANAH desak penganjuran acara tidak bermoral dibatal serta merta

Oleh KIM SYAZIE

Pemuda AMANAH Nasional membantah keras penganjuran acara pembukaan rasmi sebuah bar iaitu Privacy Club Tun Razak yang dianggap sebagai tidak bermoral.

Bar tersebut dikatakan bakal dibuka pada 30 Mac ini bertempat di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.

Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Senator Mohd Hasbie Muda telah membuat satu kenyataan media menolak pembukaan bar tersebut.

“Pemuda AMANAH Nasional memandang berat penganjuran acara sebegini sebagai satu yang menjijikkan, biadab serta tidak menghormati sensitiviti majoriti masyarakat Malaysia.

“Apatah lagi diadakan dalam bulan suci umat Islam di negara ini dan acara ini seolah-olah membawa anasir kebebasan yang songsang dalam negara,” ujarnya.

Sehubungan dengan itu, pihak Pemuda AMANAH Nasional akan menghantar satu surat bantahan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

DBKL perlu segera menguatkuasakan larangan acara terbabit serta acara seumpama ini pada masa-masa yang akan datang.

Pemuda AMANAH Nasional percaya Kerajaan melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan DBKL akan mengambil langkah-langkah tegas menangani hal ini.

Baca juga: PN umum tolak Pejuang: Ini respon terkejut dari Mukhriz