Pemuda AMANAH dinasihat jangan benarkan Umno bangkit kembali di Johor

Pemuda AMANAH dinasihat jangan benarkan Umno bangkit kembali di Johor
Aminolhuda Hassan

Pengerusi AMANAH Johor, Aminolhuda Hassan berkata, pembangkang di Johor dilihat lumpuh dan menggesa ahli parti mengambil peluang untuk memastikan Umno tidak bangkit semula di negeri itu.

“Siapa sangka kita boleh menang di Johor ini. Umno hari ini dilihat lumpuh di Johor maka ambillah peluang untuk memastikan Umno tidak bangkit semula.

“Rakyat secara umumnya menolak Umno kerana melihat Umno sebelum ini menjadi pengkhianat kepada bangsa melayu dengan menjadikan ramai melayu yang miskin di negeri ini.

“Dalam gerak kerja ini, pemuda AMANAH perlu menjadi penggerak yang konsisten bagi mengimbangi pemerintahan di negeri ini,” ujar beliau ketika merasmikan Konvensyen Pemuda AMANAH di Dewan Yayasan Warisan Johor.

Barisan kepimpinan Pemuda AMANAH dan kepimpinan AMANAH Johor .

Konvensyen tersebut turut dihadiri oleh Naib Pengerusi AMANAH Johor, Suhaizan Kaiat dan wakil dari Pemuda AMANAH Nasional serta pemerhati dari parti kompenen PH yang lain.

Beliau berkata, Pemuda AMANAH Johor perlu memainkan peranan penting bagi menggerakkan part ke dalam masyarakat.

Beliau juga mahu pemuda bergerak melalui pemikiran yang dinamik serta rasional dan bukan bergerak atas landasan emosional sehingga meninggalkan matlamat membawa parti itu kepada umum.

“Pemuda digalakkan belajar untuk menyelesaikan banyak masalah dan ia adalah suatu akar kepimpinan yang baik untuk dipelajari.

“Pemuda adalah sayap yang penting bagi melahirkan kepimpinan yang akan mendominasi politik tanah air pada masa akan datang selain mewarisi kepimpinan yang ada hari ini.

“Di Johor terdapat seorang pemuda yang dipilih menjadi Adun dan beberapa orang lagi Ahli Majlis di kalangan pemuda selain ketua kampung yang diberikan peluang membarisi kepimpinan masyarakat. Ini adalah peluang yang baik,” ujar Aminolhuda yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Parit Yaani.