Malaysia Dateline

Pemuda AMANAH disaran bina ide gerak kerja dekati golongan remaja

Barisan kepimpinan baharu sayap Pemuda AMANAH Nasional diseru agar mendekati golongan remaja untuk menarik sokongan ke atas parti dalam menghadapi undi 18 menjelangnya Pilihan Raya Umum ke-15 akan datang.

Bekas Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Muhammad Faiz Fadzil berkata, beliau mengharapkan dengan kepimpinan baharu sayap pemuda parti itu, pembaharuan perlu dilaksanakan dan tidak menjejaki kepimpinan pemuda sebelumnya.

Muhammad Faiz Fadzil

“Saya harap perlu ada kepelbagaian pada program yang dapat menarik minat golongan remaja dan amat perlu pembaharuan dilakukan dalam sayap pemuda agar ia tidak terus berada di takuk lama.

“Jangan berpegang kepada ide lama yang kami bawa sebelum ini,sebab politik ini bersifat hidup bergantung kepada suasana dan kehidupan semasa.

“Sudah pasti anak muda hari ini berbeza di masa kepimpinan kami. Terutamanya dalam usaha mendekati pengundi 18 tahun dikalangan golongan remaja.

“Saya mengharapkan kepimpinan sayap pemuda nasional perlu ‘remaja’ untuk menarik minat golongan muda ini,” ujarnya kepada Malaysia Dateline.

Beliau diminta mengulas mengenai barisan kepimpinan baharu sayap pemuda AMANAH Nasional yang kini membariskan muka-muka baru.

Pemuda AMANAH Nasional bagi penggal 2019-2022 kini diterajui Ketua Pemuda Hasnul Zulkarnain Abd Munaim dan Timbalan Ketua Pemuda Shazni Munir Mohd Ithnin.

Muhammad Faiz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Permatang Pasir,juga mengharapkan barisan kepimpinan sayap pemuda ini dapat menguruskan perbezaan pandang dan gerak kerja antara sayap dan kepimpinan pusat.

“Harapan saya dalam menguruskan sayap pemuda elak adanya perbezaan pandangan, gerak kerja dan sebagainya..ia perlu diraikan bersama.

“Malah saya juga harap kepimpinan tertinggi parti juga harus bijak menguruskan perbezaan pandangan dan gerak kerja sayap pemuda.

” Ini kerana dengan kepelbagaian pendapat dan atas nama prinsip demokrasi ini dan keutuhan parti, sayap pemuda akan dapat bergerak lebih maju kerana kewujudannya tidak hanya bersandarkan kepada satu buah fikiran atau ide sahaja tetapi wujudnya kepelbagaian ide yang akan lebih memantapkan sesuatu keputusan itu dibuat.

“Jika kepelbagaian ini diuruskan dengan betul ia akan mencetuskan satu ide yang tuntas dan keputusan yang tepat akan dapat digerakan oleh sayap pemuda ke tahap lebih maju dan efektif kepada ahli dan rakyat,” ujarnya.

Pada masa ini dimaklumkan oleh Ketua Pemuda Hasnul Zulkarnain Abd Munaim, Jawatankuasa Pemuda AMANAH Nasional sudahpun mengadakan mesyuarat pertama pada 8 Disember lepas, untuk membincangkan struktur jawantankuasa pengurusan dan 7 ahli jawatankuasa lantikan.

Manakala penetapan bagi lantikan ke portfolio dan biro-biro akan dimuktamadkan dalam mesyuarat akan datang.