Pemuda AMANAH diseru giat tambahkan ahli baharu

Pemuda AMANAH diseru giat tambahkan ahli baharu

Pemuda AMANAH perlu terus menjadi teras kepada kekuatan parti demi mengembangkan pengaruh AMANAH itu sendiri khususnya dalam menambah keahlian sayap parti.

Ketua Biro Keahlian Pemuda AMANAH Nasional, Ahmad Saqif Ansorullah berkata, minat orang ramai termasuk golongan muda terhadap parti komponen Pakatan Harapan (PH) itu perlu dimanfaatkan.

Mengulas kenyataan Presiden AMANAH, Mohamad Sabu tentang sambutan terhadap parti itu ketika merasmikan Konvensyen Tahunan AMANAH Terengganu kelmarin, beliau berkata, perkembangan tersebut sebagai bukti sokongan seluruh kaum terhadap parti pemerintah.

“Dalam masa sama, kenyataan Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar mengenai pertambahan keahlian dari Pas juga perlu diambil serius oleh Pemuda.

“Kita perlu terus berdialog dan berhujah dengan matang lagi berhikmah dengan semua orang bagi melahirkan budaya politik sihat pada era baharu ini,” kata bekas calon PRU-14 bagi kerusi Dun Selinsing, Perak berkenaan kepada Malaysia Dateline hari ini.

Sehubungan itu, Ahmad Saqif yang juga cicit kepada tokoh ulama berpengaruh Perak, Almarhum Ustaz Abu Bakar al-Baqir berkenaan menyeru sayap Pemuda AMANAH di seluruh negara menambahkan keahlian baharu.

“Saya mengajak semua Pemuda untuk menggiatkan gerak kerja dan terus mencari ahli bagi melahirkan lebih ramai aktivis yang mendokong agenda perubahan di Malaysia Baharu.

Hal ini penting, tegasnya lagi, bagi memandu Malaysia Baharu yang diidamkan iaitu berintegriti tanpa amalan rasuah.

 

COMMENTS