Malaysia Dateline

Pemuda AMANAH fokus kempen menangkan calon PH

Hazmi Hassan 2
Hazmi Hassan

Pemuda AMANAH Kelantan berikrar akan segera meneruskan kempen bagi memastikan semua calon yang bertanding atas tiket Pakatan Harapan (PH) akan mencapai kemenangan.

Ketuanya, Hazmi Hasan berkata memang tidak dinafikan timbul rasa tidak puashati ketika mula-mula mendengar keputusan berkenaan pembahagian kerusi Parlimen di kalangan parti anggota PH.

“Apa pun kami menganggap itu proses biasa dalam politik,” katanya dalam satu kenyataan kepada Malaysia Dateline.

Menurutnya pemuda AMANAH akan terus bekerja dan mengajak seluruh ahli-ahli dan penyokong parti untuk melipat-gandakan usaha.

“Sasaran kita adalah mendapatkan kemenangan semaksima mungkin bagi kerusi-kerusi yang ditandingi PH PRU 14 nanti.

“Kami akan letakkan senyuman dengan memberi seberapa banyak bilangan kerusi untuk AMANAH dan PH khususnya di Kelantan,” katanya.
.
Pihak pemuda katanya, amat gembira bila bilangan kerusi dan calon Perdana Menteri (PM) telah selesai diumumkan.

“Satu keputusan tepat meletakkan Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai PM jika PH menang.

“Ini satu keputusan yang berstrategi dan mampu mengalahkan Umno.

“Tidak ada lagi kenyataan kononnya DAP yang jadi PM selepas PH menang PRU 14,” katanya.

Beliau yang mengulas kenyataannya yang disiarkan oleh sebuah akhbar arus perdana yang melaporkan beliau amat kecewa AMANAH hanya dapat 27 kerusi berkata laporan itu kurang tepat dan dipetik di luar konteks.