Pemuda Amanah gesa akhbar The Star mohon maaf

Pemuda Amanah gesa akhbar The Star mohon maaf

Pemuda Amanah Nasional menggesa akhbar The Star memohon maaf kepada umat Islam di negara ini kerana menimbulkan persepsi negatif berhubung ibadat orang Islam.

Ketuanya Mohd Sany Hamzan berkata, tindakan akhbar berbahasa Inggeris bertarikh 27 Mei memaparkan berita berkenaan pengganas bersama-sama gambar umat Islam sedang menunaikan solat sunat terawih boleh menimbulkan salah faham.

“Tindakan ini sangat melampau. Penyiaran di paparan muka depan akhbar itu seolah-olah cuba mengaitkan umat Islam di negara ini dengan aktiviti pengganas. Ini boleh menimbulkan salah faham seolah-olah umat Islam yang sedang menunaikan solat sunat terawih itu terlibat dengan aktiviti pengganas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, sebagai media yang bertanggungjawab terhadap sebarang laporan yang disediakan, The Star perlu mengakui kekhilafan mereka terhadap perkara ini dan ia wajar dijernihkan segera.

“Tindakan The Star ini sangat berbahaya dan akan mewujudkan gambaran yang tidak baik kepada imej Islam khususnya di negara ini. Penyiaran gambar tersebut bersama berita yang sangat negatif dan sensitif ini akan menimbulkan salah anggap serta prasangka sesama rakyat berbilang bangsa dan agama di negara ini.

Tambah beliau, semua pihak sewajarnya menjaga sensitiviti agama terutama melibatkan ibadat orang Islam mahupun agama-agama lain serta sikap menghormati antara satu sama lain wajar diamalkan dengan mengetepikan dan berhati-hati terhadap isu-isu yang sangat sensitif.

“Secara prinsipnya, Islam menolak sekeras-kerasnya aktiviti serta tindakan ekstrem dan keganasan.

“Islam sifatnya sangat bencikan keganasan dan mementingkan keamanan dalam segenap tindakan serta pendekatan. Oleh yang demikian, gambaran yang cuba dibuat oleh The Star sangat menyimpang daripada sifat Islam yang sebenar,” tegasnya.

COMMENTS

Wordpress (0)