Malaysia Dateline

Pemuda AMANAH gesa cadangan kembalikan PPSMI dibincang di Kabinet

Pemuda AMANAH Nasional menggesa agar cadangan pelaksanaan semula PPSMI oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir wajar dibincangkan dan diputuskan melalui Kabinet.

Ini kerana, menurut Ketua Pemuda AMANAH Hasnul Zulkarnain Abd Munaim cadangan ini melibatkan dasar dan hala tuju pendidikan negara.

Beliau berkata demikian, susulan pengumuman tersebut menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat yang umumnya telah menolak pelaksanaan semula PPSMI.

PPSMI sebelum ini pernah diluluskan di kabinet pada 2002 dan dilaksanakan pada 2008.

Selepas itu, PPSMI menerima tentangan kuat daripada pelbagai pihak. Dan akhirnya pada 2012, PPSMI dibatalkan sewaktu Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Menteri Pendidikan.

Tun Dr Mahathir Mohammad yang juga pemangku Menteri Pendidikan berkata cadangan ini adalah sejajar dengan hasrat kerajaan untuk menggalakkan penggunaan bahasa Inggeris dan penguasaan bahasa itu dalam sistem pendidikan negara.

“Ia datangnya dari luar negara. Kebanyakannya datang kepada kita dalam bahasa Inggeris, oleh itu kita perlu menggunakan bahasa Inggeris dalam pengajaran Sains dan Matematik, “katanya semasa mesyuarat khas bersama Kumpulan Pengurusan Kementerian Pendidikan Malaysia di Putrajaya semalam.