Malaysia Dateline

Pemuda AMANAH gesa kerajaan bantu kumpulan ‘ekonomi gig’

Pemuda AMANAH Nasional mencadangkan agar kerajaan mempertimbangkan semula agihan belanjawan dan menaikkan bantuan kepada kumpulan yang terjejas sebanyak RM1,500 sebulan untuk satu keluarga.

Timbalan Pemudanya, Shazni Munir Mohd Ithnin berkata, kerajaan perlu menumpukan perhatian terhadap kumpulan ‘economi gig’ seperti pemandu e-hailing dan peniaga kecil-kecilan.

Ekonomi gig yang mula dikenali ketika dunia dilanda kegawatan ekonomi pada 2008 adalah trend sistem pasaran bebas yang memberi kebebasan kepada organisasi dan pekerja untuk bekerja secara fleksibel tanpa terikat pada rutin waktu kerja lazim.

Menurut Shazni, bantuan RM1,500 sekeluarga adalah yang paling minima diperlukan untuk memenuhi keperluan asas seperti makanan, pengangkutan jarak dekat dan bil utiliti.

“Adakah berbaloi risiko yang perlu ditanggung penunggang Food Panda walaupun penghantaran makanan masih dibenarkan ketika ini?

“Itu tidak termasuk peniaga kecil-kecilan di kaki lima jalan serta di pasar-pasar malam.

“Ibarat telah jatuh ditimpa tangga, sekiranya tiada suntikan langsung daripada kerajaan dalam beberapa minggu ke depan, keadaan yang telah sedia buruk pastinya akan lebih menyukarkan kehidupan sehari-hari,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah Shazni, perhatian juga harus terarah kepada rakyat yang bekerja sendiri dan tidak mempunyai simpanan dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan juga tidak layak memohon Employment Retention Plan (ERP) yang diumumkan kerajaan.

Pada masa sama beliau menegaskan, aspek paling penting untuk rakyat yang terjejas ketika ini, adalah tunai dalam tangan untuk melakukan pembelian barangan keperluan harian dan perbelanjaan bulanan.

Malah katanya, mekanisme penyaluran tunai boleh dilaksanakan melalui e-wallet di mana cara itu telah pun dilaksanakan melalui insentif e-wallet yang dibuat oleh Pakatan Harapan (PH).

“Seperti yang ditegaskan oleh pakar ekonomi, ini bukan masa untuk kedekut kerana kos kemelesetan dan ketiadaan punca pendapatan adalah lebih besar lagi.

“Kerajaan boleh pertimbang untuk dibuat agihan semula Belanjawan 2020 dan meletakkan prioriti belanja di sektor kritikal ketika ini.

“Ini boleh dilakukan dengan menyalurkan keluar belanja kementerian yang tidak utama kepada kementerian paling kritikal iaitu kementerian kesihatan dan juga kepada sektor-sektor penting yang dapat membantu rakyat,” ujarnya.