Malaysia Dateline

Pemuda AMANAH gesa KPM timbang semula pindaan takwim persekolahan

Pemuda AMANAH Nasional menggesa agar Menteri Pendidikan menimbang semula keputusan pindaan takwim persekolahan yang diumumkan ekoran rungutan kesatuan guru yang mendakwa keputusan itu dibuat tergesa-gesa tanpa melibatkan mereka dalam perbincangan.

Naib Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Taqiuddin Cheman berkata, sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), para guru telah melaksanakan aktiviti pengajaran di atas talian melalui inisiatif peribadi guru-guru.

Ini termasuklah katanya, peralatan peribadi yang digunakan bagi memastikan aktiviti pengajaran berlangsung dengan lancar.

“Bahkan, ada juga dalam kalangan guru yang menyediakan latihan dan kerja rumah melalui medium WhatsApp serta menyemak dan menyelia tugasan pelajar mereka tanpa mengira hari cuti am ataupun tidak.

“Adakah pihak kementerian merasakan bahawa kerja buat para guru ini tidak berkesan dan sia-sia sahaja sehinggakan perlu meminda takwim persekolahan?” soalnya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP) berpendapat keputusan dibuat kementerian dilakukan secara tergesa-gesa tanpa berbincang dengan pihak NUTP.

Presidennya, Aminuddin Awang berkata, pindaan takwim berkenaan akan memberi masalah kepada guru-guru yang telah membuat persediaan awal mengikut takwim sedia ada.

Mengulas lanjut, Taqiuddin berkata, Menteri Pendidikan sewajarnya mendapatkan maklumbalas dan nasihat dari pelbagai pihak bagi mengetahui tahap kesediaan para guru sekiranya pindaan takwim dilaksanakan.

Ini kerana katanya, terdapat guru-guru yang berada di perantauan khususnya Sabah dan Sarawak sepanjang tempoh PKP dan tidak dapat pulang berhari raya ekoran larangan rentas negeri oleh kerajaan.

Malah, mereka juga akur dengan arahan untuk berada di stesen kerja masing-masing meskipun ketika itu sekatan rentas negeri telah ditarik balik.

Dalam hal ini ujar Taqiuddin, bukan sahaja isu pendidikan anak-anak yang penting, sokongan emosi dan mental para guru juga tidak boleh diabaikan.

“Setelah pengumuman kebenaran untuk menyambut Aidiladha, para guru ini telah membuat perancangan awal untuk pulang ke kampung halaman.

“Keputusan Kementerian meminda takwim ini bakal memberi kesan kerugian ribuan ringgit kerana tiket penerbangan pulang telah ditempah lebih awal,” katanya lagi.

Semalam, KPM mengumumkan pindaan takwim persekolahan bakal melibatkan cuti pertengahan penggal dua dan cuti akhir tahun yang dikurangkan.

Pindaan melibatkan cuti pertengahan penggal dua itu dikurangkan daripada sembilan hari kepada lima hari bagi sekolah-sekolah di seluruh negara.

Manakala, cuti akhir tahun bagi sekolah-sekolah Kumpulan A (Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu) dikurangkan daripada 42 hari kepada 14 hari, manakala kumpulan B (Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya) dikurangkan daripada 41 hari kepada 13hari.