Pemuda AMANAH gesa Panglima Angkatan Tentera ambil tanggungjawab penuh

Oleh MALAYSIADATELINE

Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin

Pemuda AMANAH Nasional menggesa agar Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin mengambil tanggungjawab penuh dan menyelesaikan isu tiga pegawai pengiring dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang masih berkhidmat dengan Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Naib Ketua Pemuda Shazni Munir Mohd Ithnin berkata, sejak Pakatan Harapan mengambil alih kerajaan 4 bulan lalu, adalah sesuatu yang amat mustahil dan tidak boleh diterima.

“Untuk beralasan bahawa kes pengiring bekas menteri pertahanan itu sebagai ‘terlepas pandang’, apatah lagi jika keadaan itu sengaja dibiarkan berlaku oleh Panglima Angkatan Tentera.

“Kesan kepada insiden ini jauh lebih besar. Komunikasi antara pengiring berkenaan dan pegawai tertinggi angkatan tentera mungkin masih berlangsung sepanjang 4 bulan ini.

“Malah kita tidak tahu, maklumat penyiasatan apa yang telah terlepas dalam tempoh berkenaan.

“Kecuaian ini sama ada sengaja atau tidak disengajakan, langsung tidak boleh diterima.

“Reputasi baik Angkatan Tentera Malaysia selama ini telah terjejas teruk. Justeru dengan penuh takzim, kita menggesa agar Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin mengambil tanggungjawab penuh dan menyelesaikan isu ini segera,” ujarnya dalam kenyataan.

Pada 24 Ogos lalu Kementerian Pertahanan memandang serius laporan portal media mendedahkan mengenai tiga anggota khas ATM yang didakwa sehingga kini masih menjadi pengiring bekas menteri pertahanan.

Sumber ATM dan kementerian pertahanan mendedahkan bahawa dua pegawai tersebut adalah anggota Pasukan Khas Laut (Paskal).

Mereka, masing-masing berumur 37 tahun dan 41 tahun dengan tahun akhir khidmat pada 2020 dan 2021 manakala pegawai pengiring ketiga pula adalah seorang komando.

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berkata, susulan perkara itu, beliau telah mengarahkan siasatan segera dibuat dan kini tiga pengiring kepada Hishamuddin itu sudah kembali berkhidmat dengan ATM.

Hishamuddin dalam kenyataannya sebelum ini berkata, beliau menawarkan pekerjaan kepada tiga pengiringnya dan berkata mereka harus melepaskan kedudukan daripada ATM sekiranya menerima tawaran berkhidmat dengannya.

Tiga pegawai tersebut dipercayai telah berkhidmat dengan Hishammuddin sejak beliau menjadi menteri pertahanan pada 2013.

Bagaimanapun ia sepatutnya tamat selepas beliau tidak lagi memegang portfolio itu berikutan kekalahan BN pada PRU14.

Sumber ATM juga mendakwa, ketiga-tiganya individu itu mendapat dua gaji, iaitu daripada ATM dan Hishammuddin.