Pemuda AMANAH gesa skim PGB dikajisemula

Pemuda AMANAH gesa skim PGB  dikajisemula

Pemuda AMANAH menggesa pihak PTPTN mengkaji semula skim pembayaran ini dengan mengadakan perbincangan dengan semua pemegang taruh termasuk peminjam PTPTN dan Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) untuk merangka satu mekanisme pembayaran yang lebih adil dan tidak membebankan peminjam.

Timbalan Ketua Pemuda Faiz Fadzil berkata, jika skim baharu ini diteruskan, ia akan menjejaskan kehidupan peminjam khususnya anak muda yang masih dikekang dengan kos sara hidup yang tinggi.

“”Walaupun pendidikan percuma masih tidak dapat dilaksanakan akibat bebanan hutang melampau diwarisi daripada kerajaan terdahulu, namun peminjam tidak seharusnya dibebankan dengan pembayaran balik pinjaman pendidikan dengan isu kos sara hidup masih membelenggu rakyat terutamanya anak muda.

“Bagi memastikan kelestarian fungsi PTPTN, Pemuda AMANAH menyarankan model perniagaan PTPTN distruktur semula dengan tidak hanya bergantung kepada pembayaran semula pinjaman dan PTPTN diberikan fungsi untuk menjana pendapatan sendiri menerusi usaha niaga komersil,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas mengenai keputusan kerajaan mengumumkan peminjam yang bekerja dan berpendapatan lebih RM2,000 sebulan tidak akan terlepas daripada membayar balik pinjaman apabila skim Potongan Gaji Berjadual (PGB) dilaksanakan tahun depan.

PTPTN dilaporkan akan berhubung terus dengan majikan yang akan menolak gaji pekerja yang mempunyai pinjaman PTPTN secara mandatori, sekali gus mengeluarkan arahan kepada majikan untuk membuat potongan gaji mengikut peratus yang ditetapkan dalam skim PGB.

Menurut Faiz lagi skim PGB bagi bayaran semula pinjaman pendidikan PTPTN menerusi potongan bulanan mengikut tangga gaji pendapatan seperti yang diumumkan Pengerusi PTPTN Wan Saiful Wan Jan sebagai tidak adil kepada peminjam.

Selain itu, ujarnya, skim tersebut yang mengubah jumlah asal bayaran bulanan merupakan satu pelanggaran kontrak oleh PTPTN yang telah ditandatangani antara peminjam dan pihak PTPTN.

“Lebih parah lagi, menerusi skim baharu ini, ada peminjam yang perlu membayar dua kali ganda daripada jumlah pembayaran asal. PGB melibatkan potongan gaji antara 5-15% pendapatan bulanan.

“Situasi ini ternyata tidak adil kepada para peminjam khususnya peminjam yang konsisten membayar PTPTN. Dianggarkan terdapat sejumlah 455,797 yang sedang membayar secara konsisten setiap bulan. Sekiranya pendapatan mereka mencecah RM8,000 sebulan, jumlah bayaran di bawah skim baharu akan meningkat kepada RM1,200 bersamaan 15% pendapatan bulanan. Walaupun pendapatan mereka dilihat tinggi, namun mereka juga terbeban dengan perbelanjaan lain termasuk hutang rumah, kereta dan perbelanjaan pendidikan anak-anak yang sama pentingnya.

“Dengan jumlah bayaran balik pinjaman PTPTN yang melampau tinggi terutama bagi golongan M40 ini, sudah pasti perbelanjaan mereka akan terjejas teruk dan mereka bukan sahaja perlu mengstruktur semula perbelanjaan kredit mereka, malahan berkemungkinan berhadapan dengan tindakan undang-undang jika pinjaman lain tidak mampu dibayar.

“Laporan KWSP beberapa tahun lalu menunjukkan 86 peratus isi rumah bandar dan 90 peratus isi rumah luar bandar tidak mempunyai wang simpanan. Ini menunjukkan bahawa pendapatan yang diperolehi hanya boleh dianggap sekadar ‘cukup makan’ dan skim baharu ini sudah pasti menambah lagi beban hidup peminjam,” ujarnya.

Justeru Pemuda AMANAH berpendapat skim PGB ini tidak seharusnya dilaksanakan secara semborono tanpa konsultasi dengan peminjam.

PTPTN disaran untuk lebih bersikap flexible dalam pelaksanaan skim PGB ini dengan mendapatkan terlebih dahulu data perbelanjaan dan tanggungan bulanan peminjam kerana ianya berbeza antara satu dengan yang lain.
“Pendapatan dan perbelanjaan mengikut zon juga tidak seimbang dan perkara ini perlu juga menjadi pertimbangan PTPTN. Bagi mereka yang bergaji RM4,000 sebulan, kos sara hidup di Kuala Lumpur tidak sama dengan Kota Bharu. Dalam keadaan ini, adalah tidak adil untuk peminjam di Kuala Lumpur dikenakan potongan bulanan sehingga RM320 sebulan atau pada kadar 8% pendapatan bulanan,” katanya.

Bagaimanapun semalam Wan Saiful dalam kenyataannya dipetik berkata PTPTN sedia memberi pertimbangan kepada rayuan sambil menegaskan peminjam sebenarnya bersetuju untuk membuat pembayaran balik mengikut sebarang skim yang ditetapkan sejurus menandatangani perjanjian dengan PTPTN.

Beliau juga memberitahu mekanisme PGB mulai Januari 2019 itu tidak bercanggah dengan Perjanjian Pinjaman yang telah ditandatangani.