Pemuda AMANAH harap IGP baharu siasat 1MDB

Pemuda AMANAH harap IGP baharu siasat 1MDB

Pemuda AMANAH Nasional berharap Ketua Polis Negara (IGP) baharu, Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun dapat melakukan siasatan terhadap skandal 1Malaysia Development Berhada (1MDB) termasuk Malaysian Official 1 (MO1).

Ketuanya Mohd Sany Hamzan berkata, pelantikan Mohamad Fuzi diharap dapat memberikan sinar baharu terhadap perkembangan kes 1MDB yang sebelum ini seolah ‘disucikan’ dan dilepaskan walaupun pelbagai pihak sama ada dalam dan luar negara mendesak siasatan secara adil dan menyeluruh dijalankan.

“Ketua Polis Negara yang merupakan jawatan kanan dalam negara ini sudah pasti mempunyai kuasa untuk mengeluarkan arahan dan kertas siasatan bagi mendakwa individu-individu yang terlibat dalam skandal 1MDB ini.

“Kami berharap agar Mohamad Fuzi bersama dengan aspirasi rakyat Malaysia yang mahukan individu dan pihak yang tidak bertanggungjawab menjarah harta negara ini didakwa seadilnya,” katanya sambil mengucapkan tahniah atas pelantikan bekas Pengarah Cawangan Khas itu.

Beliau menggantikan Tan Sri Khalid Abu Bakar yang bersara wajib.

{loadposition myposition}

Sany berkata, bukti skandal melibatkan wang negara ini telah didedahkan oleh banyak negara dan menjadi buah mulut seluruh dunia menyebabkan Malaysia dipandang hina, termasuklah pendedahan Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DOJ).

“Pendedahan dan dakwaan yang dilakukan oleh banyak negara termasuklah Amerika Syarikat dan Singapura membuktikan skandal tersebut benar-benar wujud dan ia melibatkan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak.

“Adalah menjadi tugas pihak polis menyiasat secara telus biarpun yang disyaki terbabit itu adalah perdana menteri itu sendiri.

“Individu-individu yang terlibat dalam skandal mega ini termasuklah Jho Low dan Riza Aziz masih bermaharaja biar pun pelbagai bukti yang didedahkan secara terperinci.

“Individu-individu ini seolah-olah kebal dan tidak mampu didakwa oleh pihak berkuasa negara,” katanya.

Sementara itu, MO1 telah disebut oleh DOJ pada Julai 2016 dalam satu kes mahkamah untuk menyita USD1 billion wang dan aset berkaitan 1MDB yang didakwa terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram.

Selain kerajaan Amerika Syarikat, 1MDB juga disiasat di sekurang-kurangnya enam negara di seluruh dunia atas pelbagai dakwaan jenayah kewangan termasuk pengubahan wang haram.

Pada Jun 2017 pula, DOJ mendedahkan bahawa sebahagian wang yang digelapkan daripada 1MDB telah digunakan untuk membeli barang-barang kemas termasuk berlian bernilai RM120 juta untuk isteri MO1.

CATEGORIES
TAGS