Malaysia Dateline

Pemuda AMANAH harap kerajaan fokus peluang kerja anak muda

Menjengah tahun baru 2020 ini, Pemuda AMANAH Nasional berharap agar kerajaan terus memberi penekanan kepada usaha mewujudkan peluang pekerjaan bagi anak muda.

Ketuanya, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim berkata, fokus tersebut penting agar dapat menyumbang kepada kerancakan ekonomi negara.

Menurut Exco Kerajaan Negeri Perak itu, Pakatan Harapan (PH) harus memberi tumpuan terhadap usaha pemulihan ekonomi dengan menjadikan Malaysia sebagai destinasi pilihan pelaburan asing.

“Paling penting, Malaysia perlu memperbaiki hubungan antarabangsa dengan negara-negara yang mempunyai kepentingan dalam ekonomi Malaysia,” dipetik dari Mingguan Amanah.

Dalam masa sama, kata Adun Titi Serong itu, selaras dengan perkembangan ekonomi domestik, kerajaan dituntut mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.

Antaranya, jelas beliau, melalui program yang memberdayakan anak muda untuk terus maju, dan juga melalui pendidikan Program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).

Untuk rekod, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM6.5 bilion kepada rakyat negara sepanjang tempoh lima tahun akan datang bagi merealisasikan inisiatif [email protected] dengan tujuan mewujudkan peluang pekerjaan lebih baik kepada belia.

Walau bagaimanapun, ujar Hasnul, apa yang menjadi perhatian adalah peratusan pelajar bukan Bumiputera yang menyambung pengajian dalam TVET adalah rendah.

“Justeru, kerajaan perlu meningkatkan kefahaman dan galakan tentang potensi pendidikan TVET kepada generasi muda seiring dengan perkembangan ekonomi dunia,” katanya.

Menyedari beberapa isu yang berlaku sepanjang 2019 dengan pelbagai konflik menyentuh sensitiviti kaum dan agama, Hasnul turut menegaskan agar kerajaan terus memperkasa agenda perpaduan nasional.