Pemuda Amanah harap ketua audit negara baru deklasifikasi skandal mega

Pemuda Amanah berharap Ketua Audit yang baharu ini berusaha untuk deklasifikasi laporan audit ke atas skandal-skandal mega seperti 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) agar dapat dilihat dan dinilai secara umum tanpa sebarang sekatan.

Pemuda Amanah Nasional merakam ucapan tahniah kepada Tan Sri Dr Madinah Mohamad atas pelantikannya sebagai Ketua Audit Negara menggantikan Tan Sri Ambrin Buang yang tamat tempoh perkhidmatannya pada 22 Februari ini.

Ketuanya Mohd Sany Hamzan berkata, pihaknya yakin Dr Madinah mampu memegang tugas yang penting ini dengan baik berdasarkan pengalamannya memegang beberapa jawatan tinggi sebelum ini.

Dr MadinahMadinah, 60, memegang ijazah kedoktoran dalam bidang pengurusan sumber manusia daripada Universiti Putra Malaysia (UPM).

Beliau pernah berkhidmat sebagai ketua setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dan bekas ketua setiausaha Kementerian Pendidikan sebelum bersara wajib pada 3 September 2016.

Pemuda Amanah Nasional juga mengucapkan terima kasih kepada Ambrin yang telah berusaha menjalankan tugasnya dengan baik selama ini.

“Kami berharap prestasi Jabatan Audit Negara akan dapat dipertingkatkan seterusnya mengangkat integriti institusi penting negara ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Pemuda Amanah berharap Ketua Audit yang baharu ini berusaha untuk deklasifikasi laporan audit ke atas skandal-skandal mega seperti 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) agar dapat dilihat dan dinilai secara umum tanpa sebarang sekatan.

“Harapan besar kami dan seluruh rakyat Malaysia agar isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dapat dirungkai secara adil.

“Dalam suasana negara yang terhimpit dengan pelbagai skandal ini, Dr Madinah memegang tugas yang sangat mencabar.

“Kami mendoakan beliau dapat menjalankan tugas yang dipertanggungjawabkan ini dengan penuh amanah dan telus dalam mengangkat martabat Malaysia yang kita cintai ini,” katanya.

 

TAGS