BN Kedah perlu tunai janji PRU13 sebelum buat janji baru

Kerajaan BN Negeri Kedah digesa menunaikan janji-janji dalam pilihan raya umum (PRU) ke-13 terlebih dahulu sebelum membuat janji baharu menjelang PRU ke-14.

BN Kedah perlu tunai janji PRU13 sebelum buat janji baru

Kerajaan BN Negeri Kedah digesa menunaikan janji-janji dalam pilihan raya umum (PRU) ke-13 terlebih dahulu sebelum membuat janji baharu menjelang PRU ke-14.

Timbalan Ketua Pemuda Amanah Negeri Kedah, Abdullah Suady Ramadhan Mohd Nasir berkata, projek yang dijanjikan seperti pembinaan litar lumba Kedah berjumlah RM30 juta belum menampakkan akan menjadi realiti.

Begitu juga katanya dengan Bandaraya Getah atau Kedah Rubber City yang dicadangkan akan diwujudkan di ladang Bukit Ketapang di Daerah Padang Terap dengan kos sebanyak RM384 juta.

“Bagaimana pula dengan janji BN Kedah untuk mewujudkan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim atau KXP sebagai pintu masuk dan keluar aktiviti perdagangan wilayah utara.

“Projek Taman Sains dan Teknologi Kedah yang direncanakan akan dibangunkan di kawasan seluas 678 hektar di Bukit Kayu Hitam, apakah ia akan menjadi kenyataan.

“Apa pula nasib projek Bandaraya Sains Perubatan Kedah yang dicadangkan kewujudannya di kawasan seluas 64 hektar di Bandar Baharu,” soal beliau lagi.

Menurut Abdullah, Bandaraya Aero Kedah yang dirancang adalah bagi menyediakan sebidang tanah seluas 40 hektar di KXP untuk menempatkan syarikat-syarikat pengeluar komponen dan perkhidmatan penyelenggaraan, pembaikan dan membaik pulih pesawat.

Namun begitu, ia juga masih lagi menjadi tanda tanya kepada rakyat negeri Kedah yang telah pun memberi mandat kepada BN untuk meneruskan apa yang dijanjikan mereka sebelum ini.

“Lebuhraya Sungai Petani- Kedah Inner Expressway atau SPIKE adalah bagi menghubungkan Changkat Jering di Perak ke Sungai Petani dan Kulim sepanjang 133 kilometer.

“Pembinaan ini juga masih menjadi persoalan kepada rakyat negeri Kedah samada ia mampu dilaksanakan seperti dijanjikan dalam PRU ke 13 atau pun sebaliknya.

“Sekiranya janji-janji lama yang telah berjaya menambat hati pengundi untuk memberi mandat kepada BN Negeri Kedah untuk mentadbir tidak dapat ditunaikan, adalah lebih baik bagi pengundi untuk berubah kepada Pakatan Harapan,” katanya.

Yang pasti jelasnya, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan BN Kedah akan menabur puluhan lagi janji-janji manis, sebaliknya tidak mampu untuk menunaikan apa yang mereka janjikan menjelang pilihan PRU14.

Katanya lagi, proses pembangunan negara ini telah lama dipermainkan Umno-BN samada bagi tujuan kronisme ataupun demi keberuntungan parti politik kerajaan.

“Jarang sekali adanya projek pembangunan yang benar-benar dilaksanakan secara telus untuk rakyat.

“Kesungguhan kerajaan BN selalunya adalah bermusim.

“Kini rakyat Kedah tertanya-tanya apakah kesemua projek yang dilaung-laungkan sebelum ini akan ditangguhkan atau dimansuhkan terus sementara dijanjikan dengan janji baru menjelang PRU14 yang akan datang tidak lama lagi, ” tambahnya lagi.