Malaysia Dateline

Pemuda AMANAH ingatkan manifesto PH mesti dilaksana

Perwakilan Pemuda AMANAH Nasional, Ammar Atan mengingatkan kerajaan melaksanakan janji yang terkandung dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) sebelum tiba Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

“Banyak yang dijanjikan tidak mampu ditunaikan lagi. Janji dalam manifesto pasti akan dilaksanakan. Ini yang kita mahu sebab pada PRU-15 akan datang, kita akan dituntut semula di mana janji kita.

“Ini saya percaya pimpinan di atas, Kabinet komited (untuk laksanakan),” ujarnya pada perbahasan Pidato Presiden dalam Konvensyen Nasional AMANAH di Ipoh hari ini.

Sehubungan itu, beliau berharap para menteri dan timbalan menteri menyampaikan pelan dan dasar berkaitan demi tidak mengecewakan rakyat.

“Saya percaya kita perlu terus memberi penerangan kepada rakyat bukannya menyerang,” tegasnya.

Dalam masa sama, Ammar berpendapat setiap keputusan yang diambil perlu berdasarkan fakta demi masa depan dan kelangsungan AMANAH pada jangka panjang.

“Kita yakin pemimpin kita banyak seni politik. Dalam proses pembuatan keputusan ketika ini, kita masih lagi berdasarkan seni politik dan maklumat tepian.

“Apa yang kita mahu pada masa akan datang, setiap pembuatan keputusan haruslah berdasarkan data bukan hanya jumpa sana sini tetapi merangkumi soal global.

“Seni politik perlu disinergikan dengan data berkaitan masyarakat supaya dapat membuahkan keputusan yang tepat,” ujar Ammar lagi.