Pemuda Amanah Johor cadang litar lajak remaja

Pemuda Amanah Negeri Johor hari ini menyerahkan kertas cadangan Konsep Asas Litar Lajak Remaja Johor kepada wakil Menteri Besar Mohammad Nazrul Abdul Rahim merangkap Setiausaha Pembangunan Kepada Menteri Besar Johor di pejabat Menteri Besar di Iskandar Puteri.

Ketuanya Taqiyuddin Cheman berharap kerajaan negeri dapat mempertimbangkan kertas cadangan bagi mewujudkan litar bagi remaja berbasikal selepas peristiwa kemalangan yang meragut lapan nyawa di jalan Lingkaran Dalam, Johor Baharu, baru-baru ini.

“Jika pihak kerajaan tidak mengambil langkah proaktif bagi menyambut keghairahan remaja hari ini yang menggila dengan sukan basikal di Johor, maka  Pemuda Amanah sangat bimbang  mereka lebih sukar dikawal pada masa akan datang,” ujarnya.

Antara cadangan yang dikemukakan Pemuda Amanah negeri adalah menyediakan alternatif Litar Lajak Remaja Johor pada kos yang rendah dan selamat.

Langkah ini penting bagi menyalurkan keghairah remaja secara positif, membangunkan minda dan bakat remaja, mendidik remaja mematuhi undang-undang jalan raya, memudahkan ibu bapa menguruskan anak mereka yang berminat dengan aktiviti basikal, dan mendidik remaja menggunakan kenderaan secara selamat.

Pemuda Amanah menyarankan litar itu dibina di sekitar tempat tumpuan remaja berkumpul dan diwujudkan di peringkat negeri dan daerah.

“Litar ini perlu dilengkapkan dengan peralatan keselamatan, ruang penonton, insuran perlindungan, kecuraman jalan yang bersesuaian, pilihan rekabentuk basikal yang bersesuaian dan penyediaan ‘drafting’ dengan adanya kenderaan untuk diekori.

“Kelebihanya adalah, litar lebih murah serta selamat,  mudah dipantau ibu bapa, dapat mengasah bakat mereka sejak kecil,  dapat melakukan aktiviti kesukanan remaja, tidak mengganggu lalu lintas, menerapkan nilai-nilai positif, membina minda kelas pertama dan menjadi tempat remaja beraksi secara positif,” jelas Taqiyuddin.

Pemuda Amanah juga, katanya sedia bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk membangunkan remaja di negeri Johor.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *