Malaysia Dateline

Pemuda AMANAH Johor lega DUN pinda Perlembagaan

Sidang Khas Dun Johor hari ini meniti sejarah tersendiri apabila dewan telah meminda Perlembagaan untuk Adun daripada 21 tahun kepada 18 tahun.

Adun Pulai Sebatang, Muhammad Taqiuddin Cheman berkata, beliau lega dengan perkembangan tersebut kerana akan memberi ruang kepada anak muda dan sebagai pembuat dasar.

Menurut Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) Johor itu, lebih ramai anak muda dijangka mengambil bahagian dalam politik idea serta mengemukakan polisi-polisi yang pro kepada anak muda.

“Dalam perbahasan, saya menyebut bahawa masanya sudah tiba untuk perluaskan proses demokrasi kepada anak muda seawal usia 18 tahun agar mereka juga diberi peluang untuk berpartisipasi dalam politik dan sebagai pembuat dasar.

“Saya juga menyeru untuk semua pihak turut memberi sokongan dan membantu dalam membina nilai kepimpinan di kalangan anak muda.

“Mungkin pada satu hari nanti kita akan dapat melihat lebih ramai pemimpin muda yang berkaliber akan diangkat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri malah mungkin juga menjadi ketua eksekutif di negeri ini.

“Saya yakin perubahan yang berlaku ini akan memberi manfaat besar kepada negara dan negeri ini khususnya,” tulis beliau di laman Facebook miliknya.

Hari ini (DUN) Johor hari ini, meluluskan pindaan Enakmen Undang-undang Tubuh Kerajaan 1985 (Pindaan) 2021 bagi menurunkan had umur daripada 21 kepada 18 tahun untuk individu bertanding sebagai calon di kerusi DUN pada pilihan raya.

Johor menjadi negeri terbaru membenarkan belia berusia 18 tahun bertanding sebagai calon Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pada pilihan raya akan datang.

Pindaan rang undang-undang itu dibentangkan Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad dan dibahaskan beberapa ADUN, sebelum diluluskan selepas dibacakan kali ketiga.