Pemuda AMANAH Johor tempelak kenyataan Zahid Hamidi

Pemuda AMANAH Johor tempelak kenyataan Zahid Hamidi

Pemuda AMANAH Johor hari ini menempelak kenyataan yang dikeluarkan oleh Presiden Umno Zahid Hamidi yang menggelarkan Presiden PKR, Anwar Ibrahim sebagai ‘hantu raya’.

Ketua pemudanya, Taqiuddin Cheman (gambar atas) berkata, tindakan itu tidak mencerminkan sebahagian akhlak Melayu yang terpuji.

Kata Adun Pulai Sebatang itu, sebagai seorang yang mahu digelar pejuang Melayu, Zahid seharusnya menjauhkan diri daripada sifat tercela dengan menggelarkan seseorang sebagai ‘hantu’.

“Dalam adat Melayu, hantu ini adalah salah satu sifat kejahatan yang jitu apatah lagi ‘hantu raya’ yang selalu disinonimkan dengan gelaran kepada belaan jin bagi pemahaman bangsa Melayu.

“Sepatutnya walau seteruk manapun lawan kita, sebagai orang Melayu itu bukan adat kami dan ini mencerminkan bahawa Zahid sepatutnya belajar lebih lagi tentang adat Melayu.

“Janganlah kita mencemarkan identiti yang murni bagi bangsa Melayu dengan individu seperti Zahid ini yang kononnya dikatakan pejuang Melayu tetapi mencemarkan keharmonian sifat atau akhlak Melayu itu,” tegasnya.

Semalam, memetik laporan Malaysiakini, Zahid telah menggelarkan Anwar sebagai ‘hantu raya’ kerana Anwar dilihat pengacau kepada pemerintahan Tun Mahathir.

Dalam masa sama menurut Zahid, tempoh dua tahun yang dikatakan oleh Mahathir masih belum muktamad untuk Anwar mengambil alih tampok pemerintahan tertinggi di Malaysia.

Menurut Taqiuddin lagi, apa yang dikatakan Zahid itu hanyalah harapan setelah beliau dan bekas Perdana Menteri Najib Razak gagal dalam menerajui Malaysia pada PRU14.

“Zahid sepatutnya berehat dan harus menguatkan partinya bukan sibuk dengan masalah parti lain serta berharap keajaiban akan berlaku.

“Sepatutnya uruskan dulu permasalahan parti Umno itu sendiri. Ini soal perkara akan datang dan kita akan tunggu dan lihat apa yang akan berlaku,” tegasnya lagi ketika dihubungi.