Malaysia Dateline

Sany Hamzan kecam tindakan Amerika di Syria kerana ia akan memburukkan lagi keadaan.

Pemuda AMANAH kecam insiden pembakaran Jalur Gemilang oleh warga Filipina

Pemuda AMANAH Nasional mengecam sekeras-kerasnya insiden pembakaran Jalur Gemilang oleh warga Filipina Elly Pamatong.

Ketuanya, Mohd Sany Hamzan berkata, perbuatan Elly Pamatong yang juga mendakwa dirinya sebagai pemimpin United States Allied Freedom Fughters of the East adalah bersifat menghina maruah negara yang mana Jalur Gemilang adalah merupakan simbol kebangsaan negara.

“Kami beranggapan, tindakan itu mampu mengganggu keharmonian dan hubungan kerjasama yang erat antara Malaysia dan Filipina selaku rakan anggota ASEAN. Pembakaran bendera yang dibuat bagi membantah bantuan tentera pengaman Malaysia di Mindanao adalah sangat keterlaluan dan tidak seharusnya menjadi cerminan keadaan sebenar hubungan kedua-dua negara,” kata beliau dalam satu kenyataan.

Jelas beliau, kestabilan serantau adalah tanggungjawab bersama negara-negara anggota ASEAN dan bantuan yang dihulurkan oleh Malaysia bagi memastikan keamanan di wilayah Mindanao seharusnya dilihat sebagai satu usaha bagi memastikan kestabilan jangka masa panjang di rantau Asia Tenggara.

Katanya lagi, Pemuda AMANAH Nasional juga menyambut baik kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Luar Negara yang mengecam keras insiden ini.

“Diharap agar Kementerian Luar Negara dapat memaksimakan saluran diplomatik termasuklah dengan memanggil Duta Filipina bagi menyatakan bantahan keras terhadap insiden tersebut serta bagi mendapatkan komitmen dari kerajaan Filipina untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang terlibat di dalam insiden ini.

“Pemuda AMANAH Nasional ingin mengingatkan kepada semua pihak agar tidak menimbulkan kekacauan yang boleh mengganggu gugat hubungan erat antara rakan-rakan anggota ASEAN demi memastikan kestabilan yang berpanjangan di rantau Asia Tenggara,” tambah Adun Taman Templer itu.