Pemuda Amanah kecam pemimpin ‘berlakon suci’, 3 penjuru sukar dielak

Pemuda Amanah kecam pemimpin ‘berlakon suci’, 3 penjuru sukar dielak

Pemuda Amanah Nasional hari ini menegaskan pendirian agar parti itu mewakili Pakatan Harapan dalam dua pilihan raya kecil (PRK) kawasan Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar serta mahu pemimpin yang ‘berlakon suci’ untuk mengelakkan pertandingan tiga penjuru dalam PRK terbabit melihat kembali tindakan mereka yang mengecewakan rakyat dalam pilihan raya negeri (PRN) Sarawak yang baru berakhir.

“Rakyat tidak bodoh. Sukar untuk mereka menerima pemimpin yang telah mengecewakan majoriti rakyat dengan tindakan melulu membenarkan pertandingan sesama Pakatan Harapan dalam PRN Sarawak yang lalu, kini ‘berlakon suci’ pula kononnya mahu mengelakkan pertandingan tiga penjuru dengan Pas/Blok Ketiga.

“Apakah mesej politik yang mahu dihantar pemimpin ini sebenarnya? Terus mahu mengucar-kacirkan Pakatan Harapan atau apa?” tegas Ketua Pemuda Amanah Nasional, Sany Hamzan.

Menurut Sany, perbincangan kerusi sesama Pakatan Harapan bagi dua PRK itu adalah detik paling kritikal untuk rakyat meyakini gabungan alternatif yang kuat dan mampu menggantikan BN serta melakukan reformasi menyeluruh terhadap urustadbir negara.

Pertindanan kerusi sesama Pakatan Harapan di PRN Sarawak, katanya kekal menjadi sejarah hitam dan sepatutnya tidak diulang oleh mana-mana parti dalam koalisi.

Pakatan Harapan juga, katanya perlu menghormati kerjasama yang dibuat oleh Pas dan parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) bersama ‘ratusan’ badan bukan kerajaan yang lain dalam membentuk Blok Ketiga.

“Harus diterima umum bahawa Pas dan rakan-rakan koalisinya telah nekad untuk bertanding di mana sahaja kerusi yang ditandingi Pakatan Harapan. Bahkan senario tersebut telah pun berlaku dalam PRN Sarawak yang lepas.

“Lantas kemungkinan berlakunya pertandingan 3 penjuru antara Pas (Blok Ketiga), Amanah (Pakatan Harapan) dan Umno (BN) di P.093 dan P.067 hakikatnya merupakan suatu pertembungan yang bakal menguji dan menjadi kayu ukur gabungan politik mana yang lebih dipercayai rakyat,” ujarnya.

Sany menegaskan bahawa rakyat telah sedia maklum bahawa Pas bukan sebahagian Pakatan Harapan dan akan bertanding mewakili Blok Ketiga.

Sehubungan itu beliau menggesa seluruh pemimpin Amanah, PKR dan DAP menyedari hakikat ini dan berusaha memperkukuhkan Pakatan Harapan sebagai alternatif kepada BN.

Pemuda Amanah Nasional juga, jelas beliau yakin Amanah perlu diberi laluan untuk bertanding di dua PRK terbabit bagi menguji kekuatannya di Semenanjung selepas meraih undi popular sebanyak 1.24% dengan umur penubuhan selama 8 bulan dalam PRN Sarawak.

“Peratusan undi popular dengan umur penubuhan parti yang masih baru boleh diakui lebih baik dan jauh meninggalkan parti-parti tempatan sendiri seperti STAR dan PBDS (Baru),” ujar Sany.

Kawasan Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar juga, tambah beliau adalah kawasan strategik bagi Amanah sebagai parti Islam memandangkan komposisi campuran penduduk dengan majoriti Melayu Islam.

Menurut Sany, sentimen anti-Najib yang semakin meluas di kalangan rakyat memerlukan Pakatan Harapan meletakkan calon yang tegas menolak Najib Razak sebagai Perdana Menteri.

“Penting untuk Pakatan Harapan mengambil kira ketegasan prinsip untuk menolak Najib Razak dan pada masa yang sama tidak memberi ruang calon-calon yang ‘mesra’ Najib Razak bertanding secara solo,” katanya.

Beliau juga yakin Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Azmin Ali selaku Menteri Besar Selangor sedia membantu Amanah untuk menang di kawasan Parlimen Sungai Besar.

TAGS