Malaysia Dateline

Pemuda AMANAH kecam politik ekstrem, tuntut pelaku dihadap ke muka pengadilan

Pemuda AMANAH Nasional mengecam tindakan ekstrem sekumpulan samseng yang menyerang bekas Menteri Wilayah Persekutuan juga Pengarah Komunikasi AMANAH Nasional, Khalid Abdul Samad.

Kejadian tersebut berlaku di Pejabat AMANAH Terengganu pada 13 Mac 2020, selepas beliau mengadakan wawancara secara langsung bersama Pemuda AMANAH Terengganu.

Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Shazni Munir Mohd Ithnin berkata, budaya politik ekstrem menggunakan kekerasan dalam tindakan politik.

“Budaya ini sama sekali tidak boleh diterima dan diamalkan dalam negara ini. Selama Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan, budaya politik ekstrem sebegini telah ditinggalkan, berbanding sewaktu Umno-BN menjadi kerajaan.

“Kini setelah rampasan kuasa oleh Perikatan Nasional (PN), budaya politik ekstrem ini dimulakan semula.

“Buktinya, seorang wartawan Malaysiakini berbangsa Cina diugut dan dimalukan di laman sosial selepas menemu bual Menteri Alam Sekitar YB Tuan Ibrahim Tuan Man berhubung isu penebangan hutan di Kelantan.

“Dan terbaru serangan samseng terhadap YB Khalid Samad,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu katanya, Pemuda AMANAH Nasional menyeru rakyat seluruhnya mengecam dan menolak sekeras-kerasnya budaya politik ektrem ini.

“Kami turut menggesa pelaku dihadapkan ke muka pengadilan segera. Amalan demokrasi di negara kita perlu disuburkan selaras Perlembagaan Negara dan undang-undang yang telah ditetapkan,” kata beliau.