Pemuda Amanah kecam serangan senjata kimia di Syria

Pemuda Amanah kecam serangan senjata kimia di Syria

Pemuda Amanah Nasional mengecam keras serangan menggunakan senjata kimia ke atas kota Khan Sheikhoun di wilayah Idlib, Syria pada Selasa lalu yang mengorbankan 58 nyawa termasuk 11 kanak-kanak.

Sambilmenyifatkan serangan itu sebagai suatu tindakan bacul dan tidak bermaruah, Ketuanya Mohd Sany Hamzan berkata, tindakan itu menggambarkan keadaan terdesak pihak terbabit untuk membunuh rakyat yang tidak berdosa walaupun ia tidak memberi sebarang kelebihan kepada kempen ketenteraan masing-masing.

“Dalam suasana yang penuh gempita ini juga, semua pihak termasuklah kerajaan Syria, Rusia dan Amerika Syarikat nampaknya lebih sibuk untuk menuding jari berbanding memberi bantuan kemanusiaan dengan segera kepada semua mangsa,” kesal Sany.

Beliau juga menuntut Kerajaan Syria membuka pintu sempadan tanpa sebarang birokrasi agar setiap bantuan kemanusiaan dapat dihantar kepada mangsa.

Sany menyifatkan serangan kali ini lebih ganas dan jelek daripada penggunaan gas sarin di kota Ghouta berdekatan Damascus pada 2013, yang sehingga kini pelakunya masih belum dihadapkan ke muka pengadilan.

“Dalam erti kata lain, kerajaan Syria sudah tidak boleh diharapkan lagi untuk menyelesaikan kemelut ini yang telah meleret sejak sekian lama.

“Justeru, Pemuda Amanah Nasional mendesak agar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengambil tindakan drastik untuk campur tangan dalam mengakhiri isu ini,” tegasnya lagi.

Pemuda Amanah juga, tambah Sany mengharapkan anggota PBB dapat bersepakat mengkategorikan serangan senjata kimia itu sebagai jenayah perang.

Siasatan menyeluruh juga, ujar beliau perlu dijalankan dan pesalah dapat dikenal pasti dan dikenakan tindakan di bawah undang-undang antarabangsa.

TAGS