Malaysia Dateline

Pemuda AMANAH Kedah desak Pengerusi MADA selesaikan isu harga, kualiti benih padi

Pemuda AMANAH Negeri Kedah mendesak supaya Pengerusi MADA, Ahmad Tarmizi Sulaiman segera mengambil tindakan agar pesawah tidak lagi berhadapan dengan isu harga dan kualiti benih, selain memastikan keperluan semasa benih padi dan baja mencukupi seiring dengan kalendar tanaman padi bermusim.

Pengerusi Biro Pertanian dan Luar Bandar, Mohd Najmi Ghazali berkata, perjuangan isu pesawah dan penanam padi sememangnya tidak asing bagi Pas, namun semuanya menjadi biasa kepada parti itu setelah menjadi kerajaan walaupun sebelum ini mereka lantang bersuara dan berdemonstrasi bagi membela nasib petani khususnya di negeri Kedah.

Menurutnya, jawatan Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) yang disandang Ahli Parlimen Sik itu hanyalah sekadar ‘rubber stamp’ kepada dasar-dasar kerajaan yang langsung tidak membantu pesawah.

“Sebagai contoh menggunakan jentera MADA bagi kepentingan politik Pas ketika banjir kilat di Yan dan Merbok tempoh hari dengan sewenang-wenangnya.

“Sewaktu menjadi kerajaan, Pemuda AMANAH Negeri Kedah jelas menolak sistem tender terbuka yang diumumkan oleh kerajaan ketika itu hingga akhirnya kerajaan memberikan tender terus kepada NAFAS.

“Walau bagaimanapun Pas tatkala itu sanggup bersekongkol dengan Ahli Parlimen Air Itam, Wee Ka Siong, kononnya kerajaan tidak telus dengan memberikan tender secara runding terus kepada NAFAS.

“Kini, Pas terus mengambil sikap langkah ke belakang apabila isu benih padi tidak berjaya diselesaikan,” ujar beliau dalam kenyataan kepada Malaysia Dateline.

Tambah beliau lagi, isu benih padi bukan saja tidak dapat diselesaikan bahkan tiada kawalan langsung terhadap harga dan kualiti benih padi.

Kata Najmi lagi, NAFAS yang sepatutnya dikekalkan sebagai pengedar tunggal telah ditarik balik status tersebut kononnya atas sebab gagal menunjukkan prestasi yang baik, sedangkan punca sebenar masalah tersebut tidak diselesaikan.

Sementara itu, Ahmad Tarmizi juga didesak supaya melepaskan jawatan sekiranya kemelut ini masih lagi tidak dapat diselesaikan dengan tuntasnya.