Malaysia Dateline

Pemuda AMANAH Kedah optimis rakyat tolak penunggang agama

Desas-desus yang diperkatakan tentang pilihanraya umum (PRU) ke-15 semakin hari semakin hangat diperkatakan setelah wujudnya petanda yang terserlah dengan pelbagai cara.

Walau bagaimana pun Pemuda AMANAH Kedah berada pada tahap kesediaan bagi memastikan kerusi-kerusi yang berpotensi untuk ditandingi bagi memperkemaskan jentera perang bagi memenangkan parti.

Ketua Pemuda AMANAH Kedah, Mohd Ridzwan Arshad Ahmad dalam kenyataan beliau berkata
Pemuda AMANAH bukan berpaksi kepada ‘Election Oriented’ semata-mata, namun sentiasa memantau dan membantu mereka yang memerlukan.

“Ini adalah agenda utama kita dalam berpolitik dimana maslahatnya adalah untuk membantu rakyat yang susah dan memerlukan melalui pelbagai kaedah dan cara.

” Gagasan Ramatan Lilalamin yang dibawa oleh PH terbukti diterima oleh rakyat khususnya masyarakat Islam maupun bukan Islam kerana gagasan yang dibawa sebelum ini membawa rahmat untuk semua, sedangkan agenda yang sedang dibawa oleh Pas untuk memartabatkan Islam bukanlah realiti seperti yang mereka laung-laungkan kecuali menjadi penunggang agama demi survival politik.

“Agenda yang dibawa oleh Pas kini merupakan retorik politik bagi meraih kuasa semata-mata dengan mengakui kewujudan Umno dan Bersatu dalam gabungan yang tidak pernah mendapat mandat atau suara rakyat dalam PRU, sebaliknya pengkhianatan secara total terhadap mandat rakyat” ujar beliau.

Selain itu kata Ridzwan gerak kerja menyantuni golongan marhaen, miskin, daif, ibu tunggal, orang kurang upaya dan mereka yang memerlukan tetap menjadi agenda rutin bersama dengan AMANAH kawasan dan negeri serta AWAN dan juga ARIF.

Malah tegas beliau AMANAH mempunyai potensi untuk merampas kembali beberapa buah kerusi Dun dan Parlimen di negeri Kedah termasuk kawasan yang diterajui oleh Menteri Besar.

Dalam PRU yang lalu AMANAH bertanding 9 kerusi Dun dan menang 3 kerusi, manakala PPBM yang bernaung bawah PH bertanding 14 kerusi dan menang 5 kerusi. PKR pula bertanding 11 kerusi dan berjaya memenangi 8 kerusi dan Pas bertanding 36 kerusi dan menang 15 sedangkan BN bertanding 36 kerusi dan menang hanya 3.