Malaysia Dateline

Pemuda AMANAH Kedah peduli sekolah pondok terbakar

Kepedulian terhadap masalah yang dihadapi oleh pelbagai golongan masyarakat tetap menjadi keutamaan kepada Pemuda AMANAH negeri Kedah.

Ini termasuk menyantuni mereka yang ditimpa musibah seperti kebakaran yang telah berlaku di Sekolah Menengah Agama Fauzi, Yan, Kedah.

Ketua Pemuda AMANAH Negeri Kedah, Mohd Ridzwan Arshad bersama barisan kepimpinan Pemuda AMANAH negeri serta kawasan Jerai segera turun padang bagi menghulurkan bantuan.

“Sebaik sahaja mendapat perkhabaran mengenai insiden kebakaran tersebut kami segera bergegas ke lokasi kejadian bagi mendapat makulmat terkini serta dokongan yang boleh diberikan.

” Pemuda AMANAH negeri Kedah serta barisan kepimpinan pemuda dan kawasan bersama dengan Persatuan Kebajikan Insan Pulau Pinang segera meninjau kawasan terlibat dan mendapati lima buah rumah yang dijadikan pondok oleh pelajar hangus terbakar, walau bagaimana pun tiada kemalangan maut dilaporkan.

“Bagi meringankan beban mereka, kami menghulurkan sumbangan segera untuk menampung perbelanjaan pihak sekolah terbabit,” ujar Mohd Ridzwan.

Kata beliau lagi, AMANAH senantiasa peka dan peduli terhadap setiap musibah dan kekurangan yang berlaku dalam kawasan serta sanggup untuk menghulurkan bantuan tanpa mengambil kira kedudukan, ras maupun ideologi politik mereka yang ditimpa musibah.