Pemuda AMANAH Kelantan cadang pasang papan iklan percuma

Pemuda AMANAH Kelantan cadang pasang papan iklan percuma

Pemasangan papan iklan secara percuma bagi tujuan mempromosi perniagaan rakyat di Kelantan menjadi cadangan antara tawaran Pemuda AMANAH jika Pakatan Harapan menerajui kerajaan negeri itu.

Ketuanya, Hazmi Hassan berkata, masyarakat Kelantan sebelum ini lazim melihat papan iklan mempromosi program anjuran kerajaan negeri atau parti di pusat bandar atau jalan raya di lokasi yang strategik.

Oleh itu, ujarnya, cadangan promosi untuk bazaar, pasar, restoran, kedai serta produk keluaran individu atau syarikat milik anak tempatan negeri itu bagi membantu perniagaan usahawan tempatan lebih dikenali.

Menurutnya, cadangan pemasangan papan iklan itu selama dua minggu tetapi sewa boleh dikenakan jika mahu tempoh pengiklanan dilanjutkan.

Hazmi Hassan (dua dari kanan) bersama Pemuda AMANAH Kelantan ketika berkunjung ke Rantau Panjang.

“Sebagai contoh, satu papan tanda iklan Warung Pok Mat Pulau Pisang di hadapan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra.

“Dengan cara ini mungkin mampu memberi nilai tambah jumlah kehadiran pelancong luar ke kedai-kedai yang telah diiklankan,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berpendapat papan iklan perniagaan tempatan yang bersaiz besar dan menarik akan mampu menarik pelancong yang sebelum ini mungkin hanya singgah di Kelantan sebelum meneruskan perjalanan ke Pulau Perhentian.

Hazmi memberitahu, cadangan itu timbul apabila didapati tiada satu pun papan iklan atau papan tanda berkaitan perniagaan atau tempat menarik ketika beliau berkunjung ke Bazar Siti Fatimah Rantau Panjang.

“Padahal, Rantau Panjang merupakan pekan kecil yang bersempadan dengan Negara Thailand. Sepatutnya, negeri memanfaatkan sepenuhnya kesemua pekan-pekan kecil yang bersempadan antarabangsa Malaysia-Thailand,” tegasnya.

Sehubungan itu, beliau membuka cadangan tersebut kepada perbahasan bagi tujuan penambahbaikan tawaran Pakatan Harapan.

“Tawaran akan dikumpul dan dipilih dan akan diangkat kepada Datuk Haji Husam Musa selaku Pengerusi Pakatan Harapan Kelantan dan dijadikan manifesto menjelang PRU-14 (Pilihan Raya Umum ke-14).

“Kepada yang mempunyai cadangan lain, hantarkan cadangan anda ke e-mel [email protected] atau terus WhatsApp ke nombor +6019 9877623,” tambah Hazmi lagi.

8.0
OVERALL SCORE
: 8.0
2 user votes x 8.0