Malaysia Dateline

Hazmi Hassan 2

Pemuda Amanah Kelantan gesa PPN tidak dipolitikkan

Pemuda Parti Amanah Negara Kelantan mengingatkan semua pihak agar tidak mempolitikkan Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) untuk kepentingan pihak tertentu.

Ketuanya Hazmi Hassan berkata tindakan itu akhirnya akan merugikan industri perladangan dan pertanian di negeri itu.

“Semua pihak sebaliknya harus bekerjasama untuk memajukan dan membawa perubahan kepada industri terbabit,’’ katanya kepada pemberita selepas menghadiri penyerahan memorandum oleh anggota kepada PPN negeri di pejabat pertubuhan itu di sini, pada Isnin.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan akhbar pada Ahad yang melaporkan PPN Kelantan bercadang menyaman Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Ketua Pendaftar dan Kerajaan Pusat dalam masa terdekat bagi membantah pemindaan beberapa peraturan baharu yang dilakukan oleh kementerian tersebut.

Hazmi turut menggesa anggota PPN itu supaya menyambut baik inisiatif yang dilakukan oleh kementerian untuk menambah baik industri terlibat.

Sementara itu, wakil anggota PPN Wan Mohd Ruzman Mamat berkata memorandum tersebut adalah sokongan anggota terhadap usaha kementerian memperbaiki kelemahan PPN sebelum ini.

“Kita menyokong dan berharap inisiatif (pindaan) itu dapat diteruskan oleh kementerian bagi mengatasi isu-isu yang terdapat sebelum ini.

“Tindakan menyaman dilihat satu tindakan yang kurang bijak dalam usaha kementerian melakukan perubahan terhadap sesebuah organisasi,” katanya.- BERNAMA