Malaysia Dateline

Pemuda AMANAH Kelantan minta kerajaan negeri perjelas agihan RM400 juta

Pemuda AMANAH Kelantan meminta kerajaan negeri menjelaskan perincian ke mana dana sebanyak RM400 juta yang diberi oleh Kerajaan Persekutuan telah dibelanjakan.

Ketuanya, Hazmi Hassan menegaskan jumlah duit “percuma” tanpa melibatkan hasil usaha kerja keras pihak Pas yang menguasai kerajaan negeri Kelantan itu pastinya bukan untuk kegunaan peribadi para pimpinan parti itu.

“Tetapi ke mana dan apa butiran serta perincian penggunaan selepas wang tersebut diperuntukkan?

“Hutan semakin musnah, air kekal ‘beronar’, peluang pekerjaan terus merudum seperti dulu dan harga barang makin mencanak naik.

“Adakah pimpinan Pas Kelantan menganggap wang ehsan tersebut adalah aurat sehingga ianya perlu disembunyi daripada pengetahuan rakyat?

“Apakah perancangan RM400 juta yang baru disalurkan itu dan apa yang sudah jadi dengan RM 400 juta yang lepas?” bidasnya dalam kenyataan media hari ini.

Pada 16 Januari lalu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata kerajaan Pusat sudah menyalurkan hasil petroleum sebanyak RM400 juta kepada Kelantan bagi tempoh dua tahun.

Menurutnya, pembayaran hasil petroleum pada 2020 dan 2021 itu adalah hasil lima peratus daripada pengeluaran medan berdekatan Kelantan.

Walau bagaimanapun sehari selepas kenyataan Zafrul itu, Pejabat Menteri Besar Kelantan menerusi kenyataan media, berkata kerajaan negeri Kelantan mendakwa pemberian RM400 juta oleh Kerajaan Persekutuan itu adalah pemberian wang ehsan, bukannya bayaran tunai royalti.

Mengulas lanjut Hazmi mencadangkan agar kerajaan negeri mengumumkan segala perbelanjaan dan perancangan hasil royalti kepada rakyat.

Selain itu, tegasnya, wang tersebut mestilah digunakan untuk menambah baik infrastruktur dan membantu golongan muda dan peniaga yang terkesan pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“RM800 juta itu juga adalah hasil perjuangan rakyat Kelantan dan tidak adil apabila kerajaan negeri dapat peruntukan tersebut tetapi suara dan pendapat rakyat yang bersama berjuang dalam hal ini diketepikan,” tegas Hazmi lagi.